MOSCOW: Kisah persahabatan antara manusia dan binatang buas yang berjaya dijinakkan sering kali menarik perhatian.
Terkini di Russia, seorang lelaki tular selepas dilihat mesra berkongsi buah tembikai dengan seekor beruang.
Video yang dikongsikan oleh seorang pengguna dari Rusia, @panteleenko_svetlana, dalam Instagram menjadi viral di seluruh dunia dan ditonton hampir 13 juta.
Dalam video itu, lelaki tersebut kelihatan sedang berbaring di atas rumput sambil menikmati buah tembikai dan memberi potongan buah kepada beruang.
Beruang yang duduk di sebelahnya kelihatan sangat bersemangat menikmati setiap potongan tembikai yang diberikan dan lelaki tersebut juga dilihat berinteraksi dengan binatang itu.
Menerusi akaun instagram yang sama, @panteleenko_svetlana turut berkongsi video lain dengan lelaki tersebut menyuapkan beruang dengan madu.
Beberapa botol madu diletakkan di atas rumput, dan salah satu botol dibuka untuk disuapkan ke mulut beruang.
Binatang yang kelihatan sangat lapar kemudian menjilat madu tersebut dengan penuh selera.
Menurut Tribunnews, @panteleenko_svetlana merupakan seorang pencinta binatang dan sering berkongsi video interaksi antara manusia dan beruang dalam akaun Instagramnya.
Menerusi beberapa hantaran lain, dia turut berkongsi rakaman sebuah keluarga di Russia bersama anak mereka yang masih kecil, asyik bermain dengan beruang di atas rumput sambil memberikan buah epal, anggur, dan makanan lain kepada beruang serta membelainya. -AGENSI