Lebih 20 maut, puluhan cedera dalam serangan udara di Sudan

Lebih 20 maut, puluhan cedera dalam serangan udara di Sudan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Lebih 20 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan udara yang mensasarkan kawasan awam di tenggara Sudan, ketika perang saudara terus melanda antara tentera negara tersebut.

Pemangku Gabenor Sennar, Tawfiq Muhammad Ali berkata , sekurang-kurangnya 21 orang awam terbunuh dan 63 lagi cedera dalam serangan udara yang berlaku pada Ahad, menurut laporan oleh agensi berita kerajaan, SUNA.

Pengeboman udara tersebut dikatakan dilakukan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) turut disahkan oleh kumpulan aktivis Emergency Lawyers, yang memantau pencabulan hak asasi manusia dan korban awam.

Kumpulan peguam itu juga mendakwa lebih 30 orang terkorban dalam serangan RSF, yang mensasarkan pasar dan lokasi awam lain.

RSF belum memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, kumpulan aktivis tersebut mengaitkan serangan udara yang serupa di bandar berdekatan, al-Souki, sehingga menyebabkan empat orang terbunuh, dengan Angkatan Bersenjata Sudan (SAF).

Menurut laporan CNN, usaha telah dibuat untuk mendapatkan komen daripada tentera Sudan dan RSF, namun kedua-dua pihak sering menuduh satu sama lain bertanggungjawab atas kematian orang awam ketika perang antara mereka memasuki tahun kedua.

Konflik tersebut mengakibatkan sekurang-kurangnya 18,000 orang terkorban dan lebih 10 juta orang dipindahkan sejak April 2023 sehingga mencetuskan salah satu bencana kemanusiaan terburuk menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan lebih separuh penduduk negara itu menghadapi kebuluran teruk.

Pada Jumaat lalu, satu siasatan oleh PBB ke dalam konflik di Sudan mendapati bahawa kedua-dua pihak yang berperang melakukan ‘pelbagai pencabulan hak asasi manusia yang mengerikan’ yang mungkin merangkumi jenayah perang.

Beberapa pencabulan yang dilakukan oleh SAF dan RSF termasuk pengeboman udara dan penembakan terhadap orang awam, sekolah, hospital, rangkaian komunikasi, serta bekalan air dan elektrik yang penting, menurut laporan PBB tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN