Lebih 1,800 peserta sertai Malaysia Techlympics 2024 Zon Tengah - Utusan Malaysia

Lebih 1,800 peserta sertai Malaysia Techlympics 2024 Zon Tengah

Techlympics Malaysia
CHANG Lih Kang menunjukkan isyarat bagus sebagai simbolik kepada perasmian penutupan Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah di Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pertandingan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah menyaksikan penyertaan lebih daripada 1,847 orang peserta daripada 128 buah sekolah di sekitar negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan yang berlangsung ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, jumlah penyertaan amat memberangsangkan dalam usaha kerajaan memupuk minat murid sekolah serta pelajar universiti meminati bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

“Penekanan dalam dasar tersebut adalah mewujudkan pembudayaan STI secara bersepadu, konsisten dan inklusif yang seterusnya meningkatkan kesedaran betapa pentingnya STI di kalangan rakyat negara ini.

“Justeru itu mulai Julai hingga November ini, MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) telah melaksanakan program ini di seluruh negara melalui penganjuran program secara fizikal dan atas talian bagi meningkatkan penyertaan dan capaian di kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah, hari ini.

Tambahnya, beliau kagum dengan kemampuan peserta yang mampu menghasilkan beberapa peralatan permainan seperti kereta lumba, mini robot dan lain-lain lagi.

Selain pertandingan itu, menurut Lih Kang, MOSTI turut memperkenalkan Modul-MT-X², iaitu sebuah program khas untuk belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mempromosikan STI kepada masyarakat.

“Melalui Modul-MT-X², peserta diminta menghasilkan infografik menarik dan video pitching yang membentangkan idea secara visual serta menjelaskan konsep, aplikasi dan manfaat projek yang mereka lakukan itu.

“Pendekatan ini juga bukan sahaja memperkemaskan kemahiran penyampaian dan kreativiti peserta, malah dapat memupuk semangat inovasi dalam kalangan belia dan pelajar IPT,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN