PETALING JAYA: Pemerhati sukan, Datuk Pekan Ramli menganggap Datuk Abdul Latif Romly terlalu yakin pada Sukan Paralimpik Paris 2024 berikutan tiada atlet yang mampu menandingi kehebatannya pada dua edisi sebelum ini di Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Menurut beliau, Latif yang hadir ke bumi Paris dengan reputasi besar menyebabkan beliau terlalu selesa sekali gus mengakibatkan atlet berusia 17 tahun dari atlet paralimpik bebas (NPC), Matvei Lakushev merampas pingat emas beliau, semalam.
“Selepas dua kali Latif menang (Rio dan Tokyo) baru sekarang beliau rasa tergugat berikutan kemunculan pencabar baharu. Kita sedia tahu bahawa tidak semua atlet di Paralimpik menguasai satu atau dua kitaran temasya berkenaan.
“Sudah pasti kontinjen dari negara lain akan melahirkan bakat baharu dan pastinya mereka akan muncul sebagai pencabar baharu bagi menggugat reputasi atlet para berkelas dunia,” kata Pekan.
Latif menamatkan saingan acara akhir lompat tinggi T20 (kecacatan intelektual) di tempat kedua selepas mencatat lompatan terbaik sejauh 7.45 meter (m) sekali gus merekodkan catatan terbaik peribadi musim ini.
Sementara itu, Pekan meluahkan rasa terkejut dengan prestasi atlet berusia 27 tahun itu yang ‘simpan tenaga’ pada Kejohanan Para Dunia 2024 di Jepun, Mei lalu untuk memastikan persembahan terbaik di Paris tidak membuahkan hasil.
Menurut Pekan, biarpun meraih emas di Kobe, Jepun itu menerusi catatan 7.30m, ia menunjukkan Latif sememangnya dalam misi mempertahankan emasnya buat kali ketiga berturut-turut di Paris.
“Saya lihat prestasinya menurun dari segi jarak ketika di Kobe. Jadi kita nampak dia tidak memberi tahap tertinggi dan mahu menyimpannya di Paralimpik di Paris. Saya tidak menjangkakan strategi terbabit tidak membuahkan hasil.
“Bagaimanapun, saya faham Latif dibelenggu dengan kecederaannya namun di Paralimpik ini saya lihat Latif tidak perlu tunggu bagi memastikan tahap tertingginya berlaku di Paris. Sukan lompat jauh ini sukar dijangka dan sememangnya tidak boleh bergantung kepada nasib,” jelasnya.-UTUSAN