COLOMBO: Sebuah lapangan terbang di sini digelar sebagai lapangan terbang paling sunyi di dunia selepas hanya merekod kurang daripada 10 penumpang dalam masa sehari.
Akhbar The Mirror melaporkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa di Hambantota, Sri Lanka, juga diberi gelaran paling senyap di dunia disebabkan oleh bilangan penumpang yang rendah.
Dibuka lebih 10 tahun yang lalu di Hambantota, kira-kira empat jam setengah pemanduan dari ibu kota Colombo, ia menerima sangat sedikit penumpang.
Bangunan bernilai jutaan dolar itu yang terletak hanya empat jam dari Colombo, dikelilingi oleh hutan dan kampung-kampung kecil.
Walaupun terdapat pejabat sewa teksi dan hotel berhampiran, hampir tiada siapa yang melalui lapangan terbang itu yang dibina semasa pentadbiran bekas Presiden, Mahinda Rajapaksa.
Lapangan terbang itu yang menelan kos 64 trilion Rupee (RM898 juta) dirasmikan pada tahun 2013 dan Rajapaksa mempunyai harapan tinggi terhadap lapangan terbang tersebut yang mempunyai banyak ciri menarik dibiayai oleh China.
Bagaimanapun, ia kurang popular dalam kalangan penduduk tempatan atau pengembara.
Pada asalnya, beberapa infrastruktur lain bakal dibina di sekitar lapangan terbang itu bagi membolehkan Sri Lanka yang terpencil mendapat manfaat daripada ribuan pelancong Barat dan Asia.
Bagaimanapun, rancangan tersebut tidak pernah menjadi kenyataan dan akibatnya, sangat sedikit penerbangan yang berlepas dari landasannya yang berukuran sepanjang 3,500 meter. – AGENSI