PETALING JAYA: Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bangganya Miroslav Kuljanac sebagai jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC terhadap kejayaan anak-anak buahnya selepas menewaskan Penang FC 4-2 dalam aksi liga, semalam.
Pengendali dari Croatia itu memuji semangat juang yang dipamerkan oleh pemainnya apabila bangkit daripada ketinggalan menerusi gol penyamaan Paulo Jouse selepas gawang mereka dibolosi seawal minit ketiga oleh Adib Ra’op.
KL City FC menambah derita pelawat menerusi jaringan Jovan Motika pada minit ke-22 sebelum Haqimi Azim Rosli meledak dua gol pada minit ke-56 dan ke-74. Satu lagi jaringan Penang FC dihasilkan Rodrigo Dias lapan minit sebelum tamat.
“Saya berasa gembira. Tahniah kepada pemain. Daripada pandangan saya, secara taktikal pemain menunjukkan karakter mereka. Walaupun ketinggalan satu gol namun mereka berupaya mencari kekuatan bagi menterjemahkan kemenangan apabila meledak empat gol.
“Apa yang menjadi kebimbangan saya adalah pemain kepenatan secara mental dan fizikal kerana kami ada tiga hari untuk melakukan persiapan menentang Penang FC, tidak cukup.
“Hari ini, pemain beraksi dengan hebat dan sempurna. Saya berbangga jadi jurulatih mereka. Pasukan beraksi dengan baik ketika waktu sukar untuk kami dan saya berharap mereka dapat teruskan main seperti ini,” katanya.
Terdahulu, KL City FC menewaskan Borneo FC Samarinda 1-0 aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2024-2025, Khamis lalu.
Sementara itu, penyerang KL City FC, Haqimi gembira apabila dapat membantu pasukan mencipta kemenangan dengan menghasilkan dua jaringan.
“Kemenangan untuk KL City FC 4-2. Alhamdulillah dapat menjaringkan 2 gol. Terima kasih kepada sesiapa yang datang ke stadium pada hari ini (semalam) bagi menyokong KL City FC. Kami amat menghargainya,” katanya. – UTUSAN