PRISTINA: Kosovo menutup dua daripada empat lintasan sempadannya dengan Serbia berikutan protes di sebelah Serbia yang menghalang lalu lintas merentasi sempadan, kata Menteri Dalam Negeri.
Kerajaan Kosovo menutup sempadan di Brnjak dan Merdare, yang merupakan lintasan utama pada malam Jumaat hingga Sabtu.
Kedua-dua lintasan ini terletak di utara Kosovo, dengan etnik Serbia merupakan majoriti di beberapa daerah, mengatasi bilangan etnik Albania yang mendominasi sebahagian besar negara Balkan tersebut.
Menteri Dalam Negeri Kosovo, Xhelal Svecla, menjelaskan langkah tersebut dengan menyatakan terdapat kaum ekstremis di sebelah sempadan Serbia memilih untuk menghentikan warganya yang mahu transit melalui Serbia ke negara ketiga.
“Semua ini dilakukan di hadapan mata pihak berkuasa Serbia,” katanya di Facebook.
Jumaat lalu, puluhan penunjuk perasaan di Serbia menyekat dua lintasan sempadan tersebut untuk menghalang lalu lintas memasuki Serbia dari Kosovo dengan mereka memprotes penutupan pentadbiran selari yang ditubuhkan oleh etnik Serbia di utara Kosovo untuk bersaing dengan pentadbiran rasmi.
Kerajaan Serbia di Belgrade tidak pernah mengiktiraf kemerdekaan Kosovo yang merupakan bekas wilayah selatannya, dengan membiayai sistem kesihatan, pendidikan, dan keselamatan sosial selari di Kosovo untuk populasi etnik Serbia di Kosovo.
Menteri Luar, Donika Gervalla memberitahu pemberita protes Serbia merupakan bukti Belgrade cuba untuk mencetuskan provokasi dan menstabilkan jiran selatannya.
Permusuhan antara Serbia dan Kosovo berlarutan sejak perang pada tahun 1990-an antara angkatan bersenjata Serbia dan pemisah etnik Albania Kosovo.
Kemuncaknya ketika Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008, namun enggan diiktiraf oleh negara jirannya dan menggalakkan etniknya yang tinggal di Kosovo untuk terus setia kepada Belgrade.
Ketegangan meningkat lebih awal tahun ini apabila Kosovo menjadikan euro sebagai mata wang sah tunggal, secara efektif mengharamkan penggunaan dinar Serbia. -AGENSI