PYONGYANG: Korea Utara menghantar ratusan lagi belon yang diisi sampah ke arah selatan, menerusi kempen provokasi dan propaganda balas antara kedua-dua negara.
Ketua Staf Bersama Korea Selatan berkata, bungkusan yang dilekatkan pada belon itu mengandungi sisa kertas dan plastik.
Bagaimanapun, ia tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada orang awam.
Sepanjang tiga hari lalu, Korea Utara melancarkan lebih 900 belon sampah termasuk kira-kira 190 belon pada lewat Jumaat, dengan sekitar 100 daripadanya telah mendarat, terutamanya di Seoul dan wilayah utara Gyeonggi.
Sebagai tindak balas, Seoul telah menggantung perjanjian ketenteraan yang bertujuan mengurangkan ketegangan dengan Pyongyang dan memulakan semula beberapa siaran propaganda menggunakan pembesar suara di sepanjang sempadan. -AGENSI