SEOUL: Korea Utara sekali lagi mencetuskan kebimbangan apabila melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak pendek ke arah pantai timurnya hari ini dalam insiden pertama sejak lebih dua bulan lalu, menurut kenyataan tentera Korea Selatan.
Pengawal Pantai Jepun mengesahkan satu projektil, dipercayai peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Korea Utara, jatuh ke dasar laut.
Menurut sumber kerajaan Jepun dipetik oleh agensi berita Kyodo, tiada laporan mengenai sebarang kerosakan akibat peluru berpandu yang disyaki itu.
Kali terakhir Korea Utara melancarkan peluru berpandu adalah pada 1 Julai lalu, dengan negara itu mendakwa berjaya menguji peluru berpandu balistik taktikal baharu yang mampu membawa hulu ledak bersaiz 4.5 tan.
Selain itu, Korea Utara juga didakwa menghantar belon yang membawa sampah melintasi sempadan ke Korea Selatan dalam beberapa hari kebelakangan ini, sebagai tindak balas terhadap kempen aktivis Korea Selatan menggunakan belon untuk menghantar risalah anti-Pyongyang ke negara itu sejak Mei lalu. -AGENSI