Korea Utara dedah kemudahan nuklear - Utusan Malaysia

Korea Utara dedah kemudahan nuklear

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong Un (tengah) memantau latihan serangan balas nuklear secara maya dengan 'roket artileri' di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Utara hari ini mendedahkan beberapa gambar satu kemudahan rahsia dipercayai untuk menghasilkan uranium ketika negara komunis ini secara terang-terangan nyatakan hasrat membangunkan senjata nuklearnya.

Gambar tersebut yang didedahkan Reuters menunjukkan pemimpin agungnya, Kim Jong-Un melawat sebuah lokasi, namun tidak jelas jika ia berada di kompleks nuklear utama Yongbyon di utara.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, dalam sekeping gambar, pemimpin itu dilihat memantau bilik kawalan di lokasi pengayaan uranium tersebut dan sebuah tapak pembinaan dipercayai untuk memperluas kapasiti pengeluaran senjata nuklear.

Gambar-gambar lain pula memaparkan Jong-Un diberi taklimat oleh para saintis sambil berjalan di sepanjang barisan tiub kelabu tinggi, tetapi KCNA tidak mendedahkan bila lawatan itu dibuat dan lokasinya.

Menurut agensi media itu, Jong-Un pada kunjungan tersebut berpuas hati dengan kekuatan dan kemampuan penghasilan senjata nuklear Korea Utara.

“Beliau turut menekankan keperluan untuk menambah jumlah alat emparan bagi meningkatkan proses pengayaan uranium,” lapor KCNA.

Selain itu, Jong-Un juga mengarahkan pegawai untuk mempercepatkan pembangunan alat emparan baharu yang hampir siap.

Tambah beliau, Korea Utara memerlukan kapasiti pertahanan yang lebih besar ekoran ancaman nuklear terhadap negaranya oleh Amerika Syarikat (AS) yang semakin terbuka.

Walaupun pendedahan terbaharu itu mungkin bertujuan memberi tekanan kepada AS dan sekutunya, gambar-gambar yang dikeluarkan media Korea Utara di kawasan tersebut boleh mendedahkan maklumat tentang keupayaan serta jumlah bahan nuklear yang dimiliki Korea Utara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN