Korea Selatan dilanda krisis pornografi deepfake - Utusan Malaysia

Korea Selatan dilanda krisis pornografi deepfake

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan kini berdepan krisis pornografi akibat penyebaran meluas kandungan deepfake melalui aplikasi Telegram dan mangsa-mangsa tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar sekolah, guru, tentera, dan wartawan, lapor NPR.

Polis Kebangsaan Korea mengumumkan mereka akan mengenakan tindakan tegas terhadap penghasil kandungan deepfake dan memulakan siasatan terhadap Telegram dan ini merupakan kali pertama pihak berkuasa Korea Selatan menyiasat syarikat tersebut.

Suruhanjaya Standard Komunikasi Korea Selatan menerima hampir 6,500 aduan mengenai video deepfake berunsur gangguan seksual antara Januari hingga Julai 2024, empat kali ganda lebih banyak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut pihak polis, dalam tujuh bulan pertama tahun ini, terdapat 297 kes jenayah yang melibatkan kandungan deepfake berunsur seksual, meningkat daripada 180 kes sepanjang tahun 2023.

Mangsa dan pelaku jenayah ini kebanyakannya wanita dan remaja. Dari 178 suspek yang ditahan oleh polis dalam tempoh tujuh bulan tersebut, 74 peratus berusia antara 10 hingga 19 tahun, meningkat daripada 65 peratus pada tahun 2021.

Terdapat lebih separuh daripada kandungan deepfake yang menyasarkan kanak-kanak di bawah umur telah dijejaki dan dipadamkan oleh Pusat Advokasi untuk Mangsa Gangguan Seksual Dalam Talian, yang dikendalikan oleh kerajaan.

Laporan media tempatan menyatakan pelaku jenayah ini mengambil gambar dari media sosial tanpa pengetahuan atau persetujuan mangsa, manakala beberapa pelaku juga secara diam-diam merakam gambar wanita di sekeliling mereka, sama ada di rumah atau di sekolah.

Gambar-gambar tersebut kemudiannya diubah menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan dikongsikan di Telegram kepada orang asing atau pengguna lain yang mengenali mangsa.

Walaupun jumlah sebenar yang terjejas belum dipastikan, ramai yang dipercayai berusia di bawah 16 tahun dan meskipun pihak berkuasa baru sahaja mengorak langkah, puluhan wanita dan remaja di seluruh negara telah mula memadam gambar-gambar mereka dari media sosial dan menutup akaun mereka kerana dibimbangi mereka akan menjadi mangsa eksploitasi seterusnya.

Dalam satu kenyataan, Telegram menegaskan mereka secara proaktif memantau bahagian awam aplikasi tersebut menggunakan alat AI, serta menerima laporan daripada pengguna untuk memadam jutaan kandungan setiap hari yang melanggar terma perkhidmatan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN