Kontinjen para negara disambut meriah peminat sukan tempatan

Kontinjen para negara disambut meriah peminat sukan tempatan

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) menyambut kepulangan kontinjen para negara yang telah selesai berjuang di Sukan Paralimpik Paris 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. - UTUSAN/Faisol Mustafa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kira-kira 200 peminat sukan tempatan menyambut kepulangan kontinjen para negara yang baru selesai berjuang di Sukan Paralimpik Paris selepas tiba di tanah air, sebentar tadi.

Sambutan meriah tetap diberikan kepada kontinjen para negara walaupun sasaran empat emas yang ditetapkan oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) gagal dicapai apabila mereka sabar menanti kepulangan wira dan wirawati negara itu sejak pukul 8 malam tadi.

Ketibaan kontinjen para negara yang menaiki penerbangan Oman AirWY823 diketuai oleh Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024, Datuk R. Subramaniam disusuli pemenang pingat emas, perak dan gangsa serta atlet lain.

Mereka disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr.Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub.

Hannah turut meluangkan masa untuk memberi cenderamata kepada 30 atlet para yang bertanding di temasya itu termasuk jurulatih mereka.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian atlet para negara, Abdul Rashid berkata MSN tetap menganggap pencapaian kontinjen para negara di Paralimpik Paris 2024 masih boleh dibanggakan.

“Kalau kita lihat Sukan Paralimpik di Tokyo 2020 dan Paris 2024, jumlah keseluruhan pingat yang dibawa pulang tetap sama. Sasaran yang dibuat oleh MPM itu kita sambut baik tetapi sasaran awal itu memang dibuat oleh pihak MPM.

“MSN tetap menyokong sasaran tersebut dan kita tidak berjaya mendapat empat emas. Itu kita akui  tetapi yang tidak dapat emas itu dapat perak. Bagi kita itu sudah cukup tinggi dan atlet sudah cuba mendapatkan emas,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Kontinjen negara meraih dua emas melalui jaguh badminton para Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin.

Dua perak diperolehi daripada dua jaguh olahraga iaitu Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (kecacatan intelektual) yang sebelum ini merupakan sandaran utama emas negara.

Satu gangsa diperolehi daripada wajah baharu iaitu Eddy Bernard dalam acara 100 meter (m) T44 (kecacatan fizikal). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya