Kon Yeow mahu pengusaha makanan kekalkan standard kebersihan, jaga imej

Kon Yeow mahu pengusaha makanan kekalkan standard kebersihan, jaga imej

CHOW Kon Yeow (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta program "Forward Road Relay 2024" di Lebuh Pantai, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengingatkan semua pengusaha makanan di Pulau Pinang agar sentiasa mengekalkan standard kebersihan yang tinggi termasuk semasa musim cuti persekolahan ketika ini.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan reputasi Pulau Pinang sebagai antara destinasi makanan utama di negara ini juga berjaya ditingkatkan.

“Saya beri amaran kepada pengusaha-pengusaha makanan ini bahawa mereka perlu sentiasa menjaga imej mereka dan imej Pulau Pinang dan jangan jejaskan keyakinan pelancong-pelancong terhadap tempat-tempat makanan kita.

“Walaupun ada beribu-ribu outlet (gerai makanan atau restoran) dan kes-kes ini (masalah kebersihan premis) hanya melibatkan satu, dua atau tiga (premis) sahaja, ia tidak sepatutnya berlaku.

“Dalam hal ini, semua persatuan pengusaha makanan perlu menerima ini (peringatan) sebagai satu keperluan demi memastikan kita sentiasa menjaga kebersihan dan memartabatkan jenama Pulau Pinang sebagai destinasi makanan pilihan di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program “Forward Road Relay 2024” di Lebuh Pantai di sini, hari ini.

Khamis lalu, tiga buah premis makanan di Tanjong Bungah di sini diarah tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan mendapati, terdapat najis tikus di premis tersebut selain tahap kebersihan premis yang tidak memuaskan.

Operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan 10 anggota penguatkuasa daripada Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN