Kerajaan pergiat usaha pastikan negara terus stabil - Anwar

Kerajaan pergiat usaha pastikan negara terus stabil – Anwar

ANWAR ketika berucap pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini. - FACEBOOK RASMI RTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mempergiatkan usaha memastikan negara terus stabil selain mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah kerajaan yang berterusan membaiki tatakelola, memerangi rasuah dan memberi tumpuan terhadap pelaburan bernilai tinggi telah menampakkan hasil dalam mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.

“Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, negara terus berada dalam keadaan yang lebih baik. Ekonomi negara telah menunjukkan pertumbuhan yang rancak dan kukuh dengan kadar 5.9 peratus pada suku kedua 2024.

“Di samping itu, pemulihan terkini ringgit ketimbang dolar Amerika Syarikat dan mata wang utama lain, bersama dengan kenaikan pantas FBM KLCI tahun ini, turut menunjukkan keyakinan pelabur.

“Ini menjadi bukti jelas bahawa dasar-dasar dilaksanakan Kerajaan Madani telah membuahkan hasil yang positif, alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan menyedari bahawa angka-angka pertumbuhan tidak bermakna jika tidak melimpah kemajuan hasilnya kepada rakyat.

“Sesungguhnya matlamat yang ingin dicapai oleh rangka kerja ekonomi Madani adalah sosioekonomi masyarakat yang lebih saksama iaitu pendapatan rakyat meningkat, mengurangkan kos sara hidup dan memperluas jaringan keselamatan sosial

“Kerajaan akan terus berusaha keras untuk meningkatkan akses kepada pendidikan bermutu, prasarana kesihatan dan perumahan mampu milik supaya rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN