SYDNEY : Kerajaan Australia mengeluarkan arahan kepada 15,000 rakyatnya yang berada di Lubnan supaya meninggalkan negara itu atau berisiko terkandas sekiranya situasi semakin meruncing.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, rakyat Australia perlu meninggalkan Lubnan segera kerana terdapat risiko Lapangan Terbang Beirut akan ditutup.
Jelasnya, pihak kerajaan telah merangka pelan kontingensi pemindahan, termasuk melalui laut, namun tidak memberikan butiran lanjut.
“Memandangkan bilangan yang besar ini, situasi akan menjadi sukar untuk diuruskan,” katanya kepada ABC.
Serangan udara Israel di Lubnan pada Rabu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 72 orang, manakala Ketua Tentera Israel, Herzi Halevi, memberi amaran serangan darat terhadap Hezbollah mungkin dilakukan. -AFP