Kenya tempatkan 2,500 pegawai polis di Haiti - Utusan Malaysia

Kenya tempatkan 2,500 pegawai polis di Haiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Penempatan penuh pegawai polis Kenya di Haiti akan selesai pada Januari depan sebagai usaha membantu negara tersebut yang berdepan keganasan.

Presiden Kenya, William Ruto semalam berkata, operasi polis itu hanya akan lengkap tahun depan selepas 2,500 pegawai ditempatkan di Haiti ketika pemimpin negara tersebut mahu misi terbabit diubah kepada misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kenya akan mengerahkan kontinjen tambahan untuk mencapai sasaran 2,500 pegawai polis menjelang Januari tahun depan,” kata Ruto dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB seperti dipetik Arab News.

Tambahnya, negara-negara Caribbean serta Afrika lain bersedia untuk menyertai misi itu, tetapi terhalang akibat kekurangan peralatan, logistik dan dana.

Ruto dalam pada itu menyeru negara anggota PBB untuk memberi sokongan yang diperlukan kepada rakyat Haiti.

Pasukan keselamatan Kenya itu ditubuhkan tiga bulan lalu untuk memerangi peningkatan keganasan di Haiti daripada kumpulan-kumpulan penjenayah yang mengawal lebih daripada 80 peratus ibu negara Port-au-Prince serta jalan-jalan utama di seluruh negara.

Ketua Majlis Peralihan Haiti, Edgard Leblanc Fils pada sidang kemuncak sama mahu misi Kenya itu diubah menjadi misi pengaman PBB.

Jelas beliau, perubahan sedemikian membolehkan PBB membiayai misi sambil membantu menguatkan komitmen negara anggota terhadap keselamatan di Haiti.

“Saya yakin dengan perubahan status ini, kesilapan masa lalu tidak akan berulang selain boleh menjamin kejayaan penuh misi di Haiti,” katanya.

Misi Pemulihan PBB di Haiti yang digerakkan dari 2004 hingga 2017, dicemari tuduhan penyalahgunaan seksual oleh anggota pengaman dan penyebaran wabak kolera secara tidak sengaja oleh pasukan tersebut, yang mengakibatkan kematian kira-kira 10,000 orang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN