KALIMANTAN TIMUR: Kemajuan pembinaan Ibu Kota Negara baharu (IKN) Nusantara di Kalimantan Timur untuk fasa pertama kini mencapai 93 peratus.
Menurut Ketua Pasukan Petugas Pembangunan Infrastruktur IKN Nusantara, Danis Hidayat Sumadilaga, infrastruktur yang dibangunkan dalam fasa pertama terdiri daripada bangunan kerajaan, rumah berkeluasan tanah untuk menteri, serta rumah pangsa bagi penjawat awam (ASN).
“Setakat ini, kemajuan pembinaan telah mencapai 93 peratus,” kata Ketua Pasukan Petugas Pembangunan Infrastruktur IKN Nusantara, Danis Hidayat Sumadilaga.
Tambah beliau, sebanyak 20 buah rumah untuk menteri telah siap dibina, manakala 14 unit lagi sedang dalam pembinaan.
Sumadilaga turut berkata majlis perasmian beberapa bangunan di kawasan pusat pentadbiran kerajaan (KIPP) IKN Nusantara juga dijadualkan berlangsung pada Oktober.
“Kami berharap perasmian bagi beberapa bangunan di KIPP IKN dapat direalisasikan,” ujarnya.
Bangunan yang dijangka siap termasuk Bangunan Pejabat Kementerian Penyelarasan satu, dua dan empat, katanya lagi.
Perasmian Istana Garuda dan Istana Negara, yang merupakan ikon bagi ibu kota baharu itu, juga diutamakan untuk diadakan pada Oktober 2024 sebelum tempoh pemerintahan Presiden Joko Widodo berakhir, tambah Sumadilaga.
Sebelum ini, Istana Negara digunakan untuk sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79 pada 17 Ogos lalu, serta mesyuarat penyelarasan bagi semua jentera kerajaan daerah dan pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta Polis Nasional (Polri).
Istana Garuda juga digunakan oleh Jokowi bagi mengadakan mesyuarat kabinet pleno terakhir serta beberapa sesi pada Ogos dan September 2024, jelas Sumadilaga. -AGENSI