Kekuatan mental pacu Soon Huat-Shevon ke separuh akhir

Kekuatan mental pacu Soon Huat-Shevon ke separuh akhir

Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai buru pentas final Terbuka China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelebihan psikologi yang berpihak kepada beregu campuran negara, Goh Soon Huat Shevon Jemie Lai telah membawa kepada satu kejutan besar ke atas gandingan No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada suku akhir Terbuka China di Changzhou, China, semalam.

Pasangan No. 12 dunia itu yang tidak pernah mengalahkan beregu tuan rumah tersebut dalam lima pertemuan sebelum ini membenam Zhen Bang-Ya Xin 23-21, 21-16 dalam masa 34 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasangan suami isteri itu melakar sejarah dalam karier mereka menjejakkan kaki ke separuh akhir buat kali pertama pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu.

Shevon berkata, dia dan Soon Huat belum pernah menewaskan beregu muda China tersebut dan mengatasi ketakutan yang berada di dalam dirinya menjadi faktor kepada kejayaan mereka di suku akhir.

“Pertemuan ini lebih kepada pertarungan psikologi, saya perlu atasi ketakutan berdepan beregu tuan rumah itu, saya rasa kami berjaya melakukannya,” katanya sewaktu ditemu bual oleh BWF selepas perlawanan berakhir, semalam.

Mengulas lanjut mengenai aksi suku akhir tersebut, pemain berusia 31 tahun itu memberitahu, keadaan angin yang agak kuat bertiup menyukarkan mereka mengawal bulu tangkis di dalam gelanggang.

Jelasnya, dia mahupun Soon Huat tidak dapat bermain seperti biasa dan persaingan sengit dalam set pertama sehingga terikat kepada mata ‘deuce’ telah memberi suntikan semangat untuk mereka bermain lebih baik.

“Kami sebenarnya banyak berlatih bagaimana hendak mengawal mental kami ketika berada di situasi mata ’deuce’, akhirnya usaha keras berjaya juga kami terjemahkan ke dalam gelanggang,” ujarnya.

Pada separuh akhir, hari ini, pasangan suami isteri itu akan turun beraksi menentang satu lagi beregu China, Cheng Xing-Zhang Chi setelah beregu No. 22 dunia itu menewaskan wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-15, 21-19.

Satu lagi wakil Malaysia dalam beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tewas kepada gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 21-14, 21-9 dalam masa 39 minit.

Sementara itu, dalam suku akhir beregu lelaki, Goh Sze Fei Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengetepikan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-19, 21-18 dalam masa 44 minit untuk meneruskan kemaraan.

Pada peringkat empat terbaik, Sze Fei-Izzuddin akan berdepan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin yang menewaskan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 21-19, 21-19.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya