Kebakaran luar biasa akibat kemarau landa Ecuador

Kebakaran luar biasa akibat kemarau landa Ecuador

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUITO: Ibu negara Ecuador, Quito, dipenuhi asap tebal akibat kebakaran hutan yang marak pada Selasa, sekali gus mengancam kediaman-kediaman di kawasan tersebut.

Pihak berkuasa bertungkus-lumus memadamkan api, ketika kemarau melampau menguji sumber dan kesabaran rakyat.

Presiden, Daniel Noboa berkata, angkatan tentera telah dikerah untuk memadamkan kebakaran yang bermula sekitar tengah hari di kawasan kejiranan bohemian Guapulo, sebelum merebak ke kawasan perumahan dan hutan berdekatan.

Menurut saksi, beberapa penduduk kelihatan panik dan menangis sambil berusaha memadamkan api.

“Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Kami baru tiba dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tidak tahu mengapa perkara ini berlaku kepada kami,” kata seorang penduduk Guapulo, Rosana Cepeda.

Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan. Pasukan bomba Quito memaklumkan semua anggota dikerah sepenuhnya dan operasi memadamkan api akan berterusan sepanjang malam.

“Api tidak akan padam dalam masa beberapa jam ini. Ia mungkin akan berlanjutan hingga malam,” kata Datuk Bandar Quito, Pabel Munoz kepada pihak media, sambil menambah suhu malam yang lebih rendah mungkin membantu usaha mengawal kebakaran.

Kemarau paling teruk dalam tempoh 60 tahun ini, menyebabkan Ecuador, yang bergantung kepada kuasa hidro, terjerumus ke dalam krisis tenaga apabila paras air empangan hidroelektrik merosot.

Menteri Tenaga mengumumkan pemotongan bekalan elektrik selama 12 jam di seluruh negara pada Isnin, selepas musim kering bermula dua bulan lebih awal daripada kebiasaan.

Bagaimanapun, pemotongan bekalan elektrik yang dijadualkan pada Selasa di kawasan Quito ditangguhkan, menurut kenyataan syarikat utiliti elektrik ibu negara itu, Electrica Quito, di media sosial. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN