PETALING JAYA: Hasrat atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee untuk merangkul pingat dalam Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila dia hanya dibezakan 0.03 meter (m) dengan pemenang gangsa dalam kategori T12 (kecacatan penglihatan) yang berlangsung di Stade de France, sebentar tadi.
Kar Gee yang membuat penampilan keduanya di Sukan Paralimpik menduduki tempat keempat dengan lompatan 6.85m manakala Fernando Vazquez dari Argentina di tempat ketiga dengan 6.88m.
Atlet Azerbaijan, Said Najafzade memperbaiki pencapaiannya apabila memenangi emas dengan lompatan 7.27m selepas meraih gangsa di Paralimpik Tokyo 2020. Pingat perak pula menjadi milik Doniyor Saliev dari Uzbekistan dengan catatan 7.16m. – UTUSAN