Kapasiti rawatan air Pulau Pinang naik 114 JLH mulai bulan ini

Kapasiti rawatan air Pulau Pinang naik 114 JLH mulai bulan ini

PATHMANATHAN (kiri) dan Chow Kon Yeow ketika melawat tapak projek pemasangan paip merentasi Sungai Perai berhampiran Jambatan Ampang Jajar di Butterworth, Pulau Pinang, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang dijangka merekodkan kenaikan kapasiti rawatan air sehingga 114 juta liter sehari (JLH) iaitu daripada 1,228 JLH kepada 1,342 JLH bermula bulan ini.

Jumlah tersebut mampu direalisasikan berikutan siapnya Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang akan disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Sabtu depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan, Pakej 12A itu merupakan modul rawatan air baharu yang dibina sebagai respons terhadap peningkatan permintaan air
pascapandemik Covid-19.

“Loji ini (LRA Sungai Dua) ialah loji rawatan air terbesar dan paling penting di Pulau Pinang kerana ia membekalkan air terawat kepada sehingga kira-kira 465,000 pengguna air setiap hari,” katanya di sini, hari ini.

Di Seberang Perai, kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua merangkumi ketiga-tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Pada masa yang sama, air terawat dari loji ini turut dipam ke dua lagi daerah di bahagian pulau iaitu Daerah Barat Daya (DBD) serta beberapa kawasan dalam Daerah Timur Laut (DTL).

Dalam pada itu, Pathmanathan memberitahu, kerja-kerja pemasangan paip baharu merentasi Sungai Perai berhampiran Jambatan Ampang Jajar di Butterworth telah dimulakan dan ia dijadual beroperasi mulai Januari 2026.

“Apabila siap kelak, paip-paip yang baharu ini boleh menambah serta meningkatkan jumlah air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau.

“Ini sekali gus dapat menangani menangani masalah kekurangan air di beberapa kawasan tanah tinggi selain kawasan hujung paip agihan (HPA) di DBD serta DTL,” ujar beliau.

Tambah Pathmanathan, pemasangan paip tersebut juga akan membekalkan lebih banyak air kepada kira-kira 120,000 pengguna air di bahagian pulau termasuk kilang di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas selain meningkatkan kestabilan perkhidmatan bekalan berkenaan khususnya di kawasan barat, barat daya dan selatan pulau ketika ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN