Jualan tiket Pestabola Merdeka menghibakan, SNBJ bakal 'sendu'

Jualan tiket Pestabola Merdeka menghibakan, SNBJ bakal ‘sendu’

STADIUM Nasional Bukit Jalil bakal lopong selepas jualan tiket Pestabola Merdeka 2024 tidak mendapat sambutan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlawanan Pestabola Merdeka 2024 yang bakal membuka tirai pada Rabu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal dinobatkan kejohanan paling tidak meriah selepas jualan tiket yang difahamkan tidak sampai 1,000 keping terjual.

Hal ini kerana, walaupun perlawanan yang membabitkan skuad Harimau Malaya di gelanggang keramat itu hanyalah berbaki tiga hari sebelum sepak mula namun jualan tiket tidak mendapat sambutan seperti edisi sebelum ini.

Walaupun pelbagai cara sudah dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melariskan jualan tiket termasuk memperkenalkan harga kombo namun ia tidak cukup untuk menarik minat penyokong tegar hadir ke SNBJ bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

Keadaan itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM, Datuk Posa Majais yang melihat jualan tiket bagi hampir semua perlawanan Pestabola Merdeka menyedihkan walaupun perlawanan terbabit akan membuka tirai Rabu ini.

Katanya, selain faktor perlawanan berlangsung pada hari bekerja, kemungkinan gerakan boikot yang dilakukan segelintir pihak menyebabkan tiket bagi perlawanan itu tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong tempatan.

“Jika diikutkan sememangnya jualan tiket tidak sampai 1,000 keping sehingga semalam. FAM sudah melakukan pelbagai cara untuk mempromosikan jualan tiket supaya penyokong hadir ke stadium.

“Skuad Harimau Malaya memerlukan sokongan pemain ke-12. Sokongan anda cukup penting dalam memastikan pasukan kebangsaan memperoleh keputusan positif.

“Pemain berjuang demi negara dan janganlah biarkan mereka keseorangan di atas padang tanpa sorakan penyokong,” katanya.

Sebelum itu, terdapat perkhabaran bahawa kumpulan penyokong seperti Ultras Malaysia 07 (UM 07) menyurakan hasrat untuk tidak menyertai kejohanan Pestabola Merdeka 2024 atas beberapa kekecewaan dirasai.

Antara sebab saingan itu menjadi mangsa boikot mereka ialah berkaitan isu peletakan jawatan Kim Pan Gon selaku jurulatih kebangsaan, serta beberapa faktor lain.

Saingan terbabit menyaksikan Malaysia akan bertemu Filipina manakala juara bertahan Tajikistan menentang Lubnan.

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan membuat perhitungan di final pada Ahad, manakala dua pasukan yang tewas akan bertemu pada perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN