BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas 103,200 tin minuman keras jenis bir bernilai RM2.01 juta termasuk cukai di Westport, Pelabuhan Klang, Selangor pada 11 September lalu.
Pengarahnya, Datuk Roselan Ramli berkata, rampasan itu dibuat susulan satu pemeriksaan kira-kira pukul 11.15 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang.
Katanya, terdahulu, kastam berjaya menahan dua buah kontena di Pelabuhan Klang dan menemukan 103,200 tin minuman keras tersebut yang bersamaan dengan 51,800 liter disyaki tidak berkastam.
“Kesemua barangan tak berkastam ini dianggarkan bernilai RM438,600 serta melibatkan duti atau cukai berjumlah RM2.01 juta. Minuman keras jenis bir yang diimport ini diklasifikasikan sebagai Barang Larangan Import dan tertakluk di bawah Item 3, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Roselan, siasatan awal mendapati, kontena-kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan ia diimport oleh sebuah syarikat berstatus sendirian berhad di Kuala Lumpur.
“Menerusi dokumen-dokumen yang diperolehi, dagangan ini disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Tenggara. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek-suspek yang terlibat di dalam jenayah penyeludupan ini.
“Modus operandi yang digunakan pula adalah dengan membuat pengikraran yang tidak benar pada Borang Manifest (K4) iaitu mengikrar dagangan sebagai ‘Truck Steel Rim’. Hasil siasatan mendapati, dagangan sebenar adalah minuman keras jenis bir yang tidak memiliki permit import,” katanya yang memaklumkan, kontena-kontena tersebut telah dibawa ke Kompleks Pencegahan Negeri JKDM Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Roselan berkata, pihaknya telah melaksanakan satu operasi secara bersama dan telah menyerbu serta memeriksa sebuah gudang yang terletak di sebuah kawasan sekitar Bukit Tengah, Bukit Mertajam, pada 1 September lalu.
“Dalam operasi kira-kira pukul 9.30 pagi ini, dua individu berusia 28 dan 57 tahun sedang memindahkan sejumlah minuman keras jenis bir dan ‘liquor’ ke dalam sebuah motovan dan sebuah motolori yang diparkir berhampiran gudang tersebut.
“Kedua-dua individu tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan,” katanya.
Roselan berkata, hasil pemeriksaan rapi pasukan serbuan telah menjumpai 27,904 tin minuman keras jenis bir serta 3,441 botol minuman keras jenis ‘liqour’ yang disyaki tak berkastam di dalam gudang dan di dalam kedua-dua kenderaan tersebut.
“Kesemua barangan ini dianggarkan bernilai RM158,621 serta melibatkan duti atau cukai berjumlah RM438,884,” katanya.-UTUSAN