Jepun, Korea Selatan perbaiki hubungan - Utusan Malaysia

Jepun, Korea Selatan perbaiki hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, tiba untuk lawatan singkat ke Korea Selatan hari ini, bertujuan memeterai kerjasama baharu antara dua negara yang akan diuji oleh perubahan pemimpin yang akan datang di Tokyo dan Washington.

Dengan dorongan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, Kishida dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol cuba memperbaiki hubungan yang merosot ke tahap paling rendah dalam beberapa dekad akibat pertikaian diplomatik dan perdagangan berhubung penjajahan Korea oleh Jepun dari tahun 1910 hingga 1945.

“Saya ingin memperbaiki semula hubungan Jepun-Korea Selatan antara saya dan Suk Yeol serta membincangkan arah tuju memperkukuh kerjasama secara berterusan,” kata Kishida sebelum berlepas dari Tokyo.

Kishida mengumumkan tidak akan mengekalkan jawatan dan Parti Demokratik Liberal Jepun (LDP) akan mengadakan pilihan raya pada 27 September ini untuk memilih penggantinya.

Kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan mesyuarat pada petang ini dan Kishida dijangka kembali ke Tokyo esok.

Seorang pegawai Kementerian Luar Jepun dalam satu taklimat memaklumkan, Kishida akan menggunakan lawatan terakhirnya ke Seoul sebagai Perdana Menteri untuk memajukan hubungan supaya dua negara itu boleh bekerja rapat di peringkat antarabangsa.

Suk Yeol juga dijangka menggunakan hubungan dengan Jepun sebagai keutamaan diplomatik dan meningkatkan kerjasama keselamatan untuk menangani ancaman ketenteraan Korea Utara.

Dalam satu sidang kemuncak dengan Biden di Camp David tahun lalu, ketiga-tiga pemimpin berikrar untuk memperdalam kerjasama ketenteraan dan ekonomi dan bersetuju dengan inisiatif yang direka khusus untuk mendorong perkongsian jangka panjang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN