Jakarta lanjut program pelepasan nyamuk Wolbachia kawal denggi

Jakarta lanjut program pelepasan nyamuk Wolbachia bagi kawalan denggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Bandar ini merancang untuk melanjutkan tempoh pelepasan nyamuk Wolbachia melebihi enam bulan sekiranya sasaran populasi nyamuk tidak tercapai dalam usaha bagi mengekang penularan denggi.

Ketua Penjagaan dan Kawalan Penyakit, Pejabat Kesihatan Jakarta, Maryati Kasiman berkata,
kaedah tersebut melibatkan penempatan telur nyamuk Aedes aegypti yang mengandungi bakteria Wolbachia di sesuatu kawasan untuk menetas dan kemudian dilepaskan.

Jelasnya, pelaksanaan kaedah ini dianggap berjaya jika populasi nyamuk yang mengandungi Wolbachia di kawasan tersebut mencapai 60 peratus daripada jumlah populasi nyamuk keseluruhan.

“Tempoh enam bulan itu mungkin akan dilanjutkan kepada lapan bulan atau ditambah dua bulan lagi.

“Kemudian, kita akan melancarkan program ini. Lokasi awal yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan adalah di Jakarta Barat, Kecamatan Kembangan, Kelurahan Kembangan Utara,” jelas Maryati.

Beliau berharap agar program ini dapat diteruskan di kawasan lain sekitar Jakarta untuk merealisasikan matlamat bandar bebas denggi.

Tambah beliau, kaedah Wolbachia merupakan langkah tambahan atau inovasi dalam kawalan denggi dan memerlukan usaha 3M Plus termasuk mengeringkan tempat takungan air dan aktiviti fogging masih diperlukan.

Menurut Kementerian Kesihatan, kaedah Wolbachia menawarkan potensi baharu dalam kawalan denggi.

Percubaan kaedah ini pernah dilakukan di Yogyakarta dan Bantul pada tahun 2022, dengan kes demam denggi menurun sehingga 77 peratus dan bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital juga berkurangan sebanyak 86 peratus.

Di Indonesia, kaedah ini dilaksanakan dengan melepaskan nyamuk jantan dan betina yang mengandungi Wolbachia bagi memastikan keturunan mereka juga mengandungi bakteria tersebut untuk memberikan perlindungan berpanjangan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN