PETALING JAYA: Dua atlet boling padang negara mencipta sensasi selepas Izzat Shameer Dzulkeple dan Nor Farah Ain Abdullah berada dalam kedudukan tiga terbaik dunia.
Berdasarkan kemaskini ranking terbaharu yang dikeluarkan https://worldbowlseries.com/male-rankings/, Izzat Shameer muncul pemain No. 1 dunia selepas mengumpul 822 mata meninggalkan Stewart Anderson dari Scotland di tempat kedua (797) dan ketiga, Aaron Sheriff dari Australia (781).
Dalam pada itu, Nor Farah berada di kedudukan kedua dunia dengan 645 mata manakala tempat pertama dihuni Kelsey Cottrell dari Australia (676) dan Tayla Bruce dari New Zealand di tempat ketiga (608).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang dilakukan oleh Izzat Shameer dan Nor Farah.
“Tahniah dan syabas kepada atlet-atlet boling padang negara. Izzat Shameer Dzulkeple kini berada di kedudukan nombor satu dalam dunia manakala Nor Farah Ain Abdullah berjaya menduduki nombor dua dalam dunia,” tulisnya di laman sosial, Facebook miliknya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz berkata menerusi kejayaan tersebut telah membolehkan mereka berdua menyertai Kejohanan Juara Juara Boling Padang Dunia yang akan diadakan di Auckland, New Zealand pada 25 hingga 30 November ini.
“Kejayaan mereka ini banyak disumbangkan oleh mata yang diperolehi daripada kejuaraan yang dicapai pada Kejohanan Dunia di Guernsey, United Kingdom dan Kejohanan Asia di Pattaya, Thailand pada tahun ini,” katanya.
Terdahulu, Nor Farah bergelar juara dunia pada penampilan sulungnya di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Guernsey pada April lalu dalam acara perseorangan selepas menewaskan Connie Rixon dari Malta.
Atlet berusia 23 tahun itu turut meraih gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer yang turut memenangi pingat perak acara perseorangan lelaki. – UTUSAN