Isu GISBH perlu diberi perhatian serius, libat soal akidah - Fathul Bari - Utusan Malaysia

Isu GISBH perlu diberi perhatian serius, libat soal akidah – Fathul Bari

FATHUL Bari Mat Jahya ketika ditemui di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu organisasi Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) perlu diberi perhatian serius oleh setiap negeri di negara ini memandangkan ia melibatkan soal akidah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, pembongkaran gerakan kumpulan berkenaan bukannya tuduhan buat mana-mana pihak yang menyertai GISBH, namun perkara itu perlu dilihat dalam kerangka manhaj akidah khususnya berkaitan kepercayaan.

Katanya, perkara yang perlu diberi penekanan menerusi pembongkaran itu adalah di mana masih wujudnya amalan-amalan pelik yang diamalkan oleh pihak tertentu di negara ini.

“Perkara paling penting adalah kepercayaan, ada amalan pelik-pelik, mengangkat guru secara melampau, kemudian soal kepercayaan lama itu dilihat masih ada. Dan pada saya, perkara tersebut perlu diberi penekanan serius,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam organisasi GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata, fatwa berkaitan GISBH tersebut diputuskan setelah menerima bukti-bukti berkaitan organisasi berkenaan selain
ia juga adalah kesinambungan dari ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat sebelum ini.

Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, beberapa pihak juga dilihat bertindak defensif ke atas kritikan terhadap GISBH dan turut menyifatkan kumpulan tersebut sebagai satu gerakan dalam membangunkan ekonomi Islam.

“Kita sepatutnya tonjolkan kepada umum tentang nilai bagaimana Islam menepati tuntutan agama dalam urusan perniagaan, itu yang perlu ditonjolkan.

“Jadi, pembongkaran isu ini sebenarnya untuk memurnikan dan menjernihkan nama Islam, supaya nama Islam itu tidak disalah guna, itu matlamat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, pihaknya juga menyokong keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berkaitan GISBH tersebut yang diputuskan ajarannya adalah sesat.

Katanya, kerajaan juga diharap dapat memberikan pemantauan khusus terhadap ajaran-ajaran sesat lain yang masih terdapat di negara ini.

“Apa yang kita nak adalah hakikat sebenar yang Islam tuntut dalam soal perniagaan, soal akidah, ibadah, dan berkomunikasi. Tak bolehlah orang gunakan nama Islam tapi hakikatnya salah, praktisnya salah, dan itu akan beri satu pandangan negatif terhadap Islam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya