KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba mengakui keistimewaan bola sepak Malaysia adalah dengan adanya penyokong-penyokong yang sentiasa bersama pasukan kebangsaan dalam apa jua situasi.
Katanya, pasukan negara dan penyokong bagai aur dengan tebing iaitu saling memerlukan antara satu sama lain untuk mencipta kejayaan.
“Saya fikir bola sepak Malaysia apa yang istimewa adalah penyokong dan tentang Bukit Jalil tentu sekali penyokong-penyokong yang memenuhi stadium tetapi tindakan untuk mereka boikot diluar kawalan kami.
“Apa kami mampu lakukan adalah beri yang terbaik di atas padang untuk beri kepercayaan kepada penyokong, mungkin mereka tidak datang pada perlawanan pertama tetapi perlawanan kedua mereka akan beri sokongan kepada kami.
“Saya hormati keputusan mereka dan tugas utama kami kini beri yang terbaik di atas padang serta mendapatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan sempena Pestabola Merdeka 2024.
Terdahulu, difahamkan tindakan Ultras Malaya menjalankan kempen boikot menyaksikan Kejohanan Pestabola Merdeka tidak mendapat sambutan.
Skuad Harimau Malaya akan turun menentang Filipina esok di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 9 malam dengan difahamkan tiket terjual tidak sampai 1,000.
Situasi itu pastikan akan memberi sedikit sebanyak impak kepada pemain-pemain namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberi aksi terbaik di atas padang.-UTUSAN