SEREMBAN: Pada usia warga emasnya, seorang wanita tetap tabah menjaga dan menguruskan keperluan suaminya yang kini terlantar selepas mengalami pelbagai penyakit kronik.
Menurut Siti Sharipah Alauyah Syed Sayuthi, 63, setiap hari dia perlu memastikan keperluan makan dan minum serta kelengkapan suaminya, Razali Idrus, 79, dijaga rapi termasuklah ubat-ubatan.
“Pada usia yang semakin meningkat memang saya memerlukan sokongan untuk menjaga suami tetapi saya tidak mahu mengeluh walaupun ada juga rasa Lelah, tetapi selagi ada kudrat saya akan terus menjaga suami,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Tengah, Lenggeng, di sini.
Bercerita lanjut, wanita warga emas yang merupakan pesara swasta itu berkata, selepas suaminya mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, kesihatannya semakin merosot.
“Suami turut mengalami demam panas dan terus ditempatkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan.
“Kemudian doktor mengesahkan dia ada jangkitan pada kelenjar prostat. Setakat ini belum lagi disahkan mengidap kanser namun berkemungkinan ke arah itu,” katanya.
Siti Sharipah Alauyah berkata, dia perlu membelanjakan sebanyak RM500 sebulan untuk membeli keperluan suaminya termasuk lampin pakai buang.
“Duit persaraan saya juga semakin susut, mujurlah suami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 164025031523 atas nama Siti Sharipah Alauyah Syed Sayuthi atau dia boleh dihubungi di nombor 019318 0834. – UTUSAN