BAITULMUQADDIS: Tentera Israel membebaskan konvoi kenderaan dan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditahan lebih lapan jam di utara Gaza, semalam.
Pengarah Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini memaklumkan, konvoi tersebut ditahan selepas tentera rejim menerima maklumat risikan yang mendakwa ia membawa beberapa penduduk Palestin.
“Mereka ditahan ketika melalui pos pemeriksaan Wadi Gaza.
“Sebuah kenderaan perisai PBB turut rosak teruk selepas dirempuh jentolak akibat perbuatan tentera Israel,” kata Lazzarini di laman X seperti dilaporkan Arab News.
Menurut beliau, semua kakitangan dan konvoi telah dibebaskan dan kembali dengan selamat ke pangkalan PBB.
Lazzarini berkata, ketika ditahan, konvoi itu dalam perjalanan untuk melaksanakan kempen vaksinasi di Gaza City dan utara Gaza.
Hampir 443,000 kanak-kanak menerima dos pertama vaksin polio di Genting Gaza hujung minggu lalu, merangkumi 69 peratus golongan bawah umur 10 tahun di wilayah berkenaan.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Kesihatan Primer, Mousa Abed berkata, fasa pertama kempen vaksinasi di kawasan tengah Gaza mencapai hasil melebihi jangkaan dengan 195,000 kanak-kanak telah divaksin berbanding 160,000 kanak-kanak yang disasarkan. – AGENSI