NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi bayangan Israel akan musnah dan tidak wujud dalam tempoh dua tahun akan datang, sekiranya Kamala Harris dipilih sebagai Presiden baharu.
Kenyataan itu dilontarkan selepas Trump diberi giliran menjawab soalan tentang situasi di Gaza dan tuntutan menyelamatkan semula orang awam yang dijadikan tebusan oleh pejuang Hamas.
“Beliau benci Israel. Jika beliau dilantik sebagai Presiden, saya percaya Israel tidak akan wujud dalam tempoh dua tahun dari sekarang,” katanya semasa membidas kenyataan Harris dalam Debat Presiden, yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Trump turut menuduh Harris sebagai pemimpin Amerika yang membenci penduduk Arab kerana seluruh tempat di Gaza akan diletupkan.
Beliau yang membawa suara Republikan memberi harapan peperangan di Gaza akan ditamatkan segera sekiranya diberi mandat memimpin negara sekali lagi.
Harris pula yang mewakili parti Demokrat tetap teguh dengan pendirian penyelesaian dua negara bagi menoktahkan perang di wilayah bergolak itu.