Indonesia pelawa pelaburan dalam sektor AI - Utusan Malaysia

Indonesia pelawa pelaburan dalam sektor AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Komunikasi dan Penerangan Indonesia, Budi Arie Setiadi mempelawa pelabur sektor maklumat, komunikasi dan teknologi untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI).

Beliau membuat kenyataan itu berdasarkan data yang menunjukkan bahawa sumbangan AI kepada ekonomi ASEAN melonjak dari AS$1 bilion (RM4.12 bilion) pada tahun 2020 kepada AS$11 bilion (RM45.4 bilion) pada tahun 2022.

“Destinasi pelaburan swasta untuk sektor AI masih didominasi oleh Amerika Syarikat (AS), China dan United Kingdom (UK).

“Namun, sektor digital terus berkembang pesat di rantau ASEAN, dengan pelaburan dalam sektor berkenaan terus meningkat,” kata Budi semalam seperti laporan agensi berita Antara.

Beliau juga menggalakkan syarikat-syarikat teknologi tempatan merebut peluang dalam mengembangkan AI sebagai inovasi dan penyelesaian.

Katanya, di Indonesia, sektor digital menarik pelaburan sekitar AS$22 bilion (RM90.8 bilion) pada tahun lalu.

Tambah beliau, potensi pasaran dijangka mencapai antara AS$210 bilion (RM866.53 bilion) hingga AS$360 bilion (RM1.48 trilion) menjelang 2030, dengan pertumbuhan ketara dalam e-dagang, perjalanan dalam talian, pengangkutan, industri makanan dan media dalam talian.

“Sumbangan AI kepada ekonomi Indonesia pada tahun 2030 dijangka mencapai RM1.48 trilion. Sektor ini akan memacu pertumbuhan ekonomi Indonesia pada masa akan datang,” ujarnya.

Potensi yang menjanjikan itu menunjukkan bahawa AI adalah teknologi yang sedang muncul dan berkembang dengan baik, serta mendapat kepercayaan di pelbagai sektor. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN