Hoki: India belasah Malaysia 8-1

Hoki: India belasah Malaysia 8-1

PASUKAN hoki kebangsaan wajib menang ke atas Jepun pada perlawanan esok untuk berada di kelompok empat terbaik. - IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan untuk melihat skuad hoki kebangsaan untuk melakar kemenangan pertama di pentas Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, China tidak kesampaian apabila dibelasah India 8-1, sebentar tadi.

Kekalahan kedua itu nyata menyukarkan lagi peluang Speedy Tigers untuk cuba meletakkan diri dalam kelompok empat terbaik daripada enam negara yang bersaing di kejohanan terbabit.

Pada perlawanan yang berlangsung di Kem Latihan Moqi itu, menyaksikan pertahanan Speedy Tigers lumpuh pada 10 minit pertama permainan apabila pasukan India meledak tiga jaringan.

Skuad bimbingan Sarjit Singh kian buntu untuk menyamai jaringan apabila Harmanpreet Singh menyempurnakan pukulan sudut pada minit ke-22.

Selang tiga minit kemudian, jaringan padang Raj Kumar Pal menutup separuh masa pertama permainan dengan India mendahului Malaysia 5-0.

Babak kedua menyaksikan India membuktikan mereka layak menghuni di tangga pertama selepas Raj Kumar meledak hatrik menerusi gol padang pada minit ke-33.

Selang satu minit kemudian gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook, namun dikecewakan oleh Araijeet Singh Hundal untuk menambah gol ketujuh pada minit ke-39.

Uttam Singh menutup permainan apabila menyempurnakan pukulan sudut pada minit ke-40 sekali gus mengekalkan menjadi pendahulu kejohanan selepas melakar tiga kemenangan berturut-turut.

Selepas satu seri dan dua kalah, pasukan hoki kebangsaan kini berada di tangga tercorot bersama Jepun yang mana mereka mempunyai kelebihan jaringan di tangga kelima.

Speedy Tigers tiada pilihan lain selain menewaskan Jepun pada perlawanan esok untuk menghidupkan kembali peluang mara ke separuh akhir.

Perlawanan menentang Jepun dijadualkan akan berlangsung pada pukul 1.30 petang, esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN