GEORGE TOWN : Hotel Warisan 1926 yang merupakan salah satu daripada bangunan warisan Pulau Pinang dijangka beroperasi semula pada 2026 dengan nilai pelaburan sebanyak RM20 juta.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembangunan dan pengubahsuaian ruang dalaman hotel itu akan dilaksanakan oleh Jetblue Sdn. Bhd. yang memperoleh pajakan selama 15 tahun dengan tambahan opsyen 15 tahun daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
“Selepas melalui proses pelawaan cadangan (RFP), syarikat JetBlue dipilih untuk mengoperasikan semula Hotel Warisan 1926.
“Bangunan hotel ini akan kekal sebagai bangunan warisan Pulau Pinang dan ia dijangka dibuka semula pada 2026 nanti kerana bangunan ini memerlukan masa untuk dibaik pulih.
“Nilai estetika dan seni budaya yang ada pada bangunan ini akan terus dipulihara kerana kerja-kerja ubah suai nanti hanya melibatkan ruang dalaman bilik-bilik hotel ini sahaja,” katanya selepas menghadiri majlis perjanjian pajakan bagi projek Hotel Warisan 1926 di sini, hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian pajakan antara PDC dan Jetblue. PDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aziz Bakar manakala Jetblue pula diwakili Pengarahnya, Datuk Koay Shao Sheong.
Menurut Kon Yeow, dengan termeterainya perjanjian pajakan itu, pihaknya berharap Jetblue akan menjadikan Hotel 1926 sebagai sebuah lagi mercu tanda dalam sektor pelancongan dengan pengubahsuaian berkonsepkan moden namun mengekalkan elemen asal hotel tersebut.
“Saya percaya kerjasama antara PDC dan Jetblue ini akan menjadikan Hotel Warisan 1926 sebagai model kejayaan dalam pelaksanaan projek pelancongan yang mengormati warisan sambil memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Tambahnya, pengurusan Hotel Warisan 1926 itu akan diuruskan oleh Hotel Ascott yang merupakan sebuah syarikat yang aktif dan agresif dalam menawarkan pengurusan hotel di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sebelum ini, operasi hotel tersebut telah terhenti pada 2020 selepas tempoh pajakan berakhir.
“Semoga projek Hotel Warisan 1926 akan menjadi satu lagi kebanggaan negeri ini dan seterusnya membawa banyak kejayaan kepada Pulau Pinang,” katanya yang memberitahu, apabila siap kelak, hotel itu akan mempunyai 78 bilik berbanding 96 bilik sebelum ini..-UTUSAN