Hanya tinggal 736 mangsa banjir di Kedah, hujan di Kota Setar - Utusan Malaysia

Hanya tinggal 736 mangsa banjir di Kedah, hujan di Kota Setar

KAMPUNG Suka Menanti yang sebelum ini dinaiki air kini surut sepenuhnya daripada banjir membolehkan kesemua PPS di Kota Setar ditutup hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini berkurangan menjadi 736 orang apabila dua lagi daerah pulih daripada bencana itu.

Penduduk yang terjejas kini hanya di Pendang melibatkan 203 keluarga yang berlindung di 10 PPS yang masih aktif di daerah tersebut setakat pukul 4 petang.

Mengikut data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), banjir di Kota Setar dan Pokok Sena turut pulih sepenuhnya apabila kesemua 600 mangsa terakhir di kedua-dua daerah itu setakat tengah hari tadi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini, sembilan daripada 10 PPS yang masih dibuka di Pendang melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah, manakala sebuah lagi adalah Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.

Difahamkan, situasi banjir di daerah itu mengambil masa untuk pulih ekoran fenomena banjir termenung yang berlaku di beberapa buah kampung.

Sementara itu, hujan lebat kini berlaku di daerah Kota Setar dan beberapa kawasan lain sejak pukul 4 petang, namun tiada sebarang perkembangan dilaporkan pihak berkuasa buat masa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya