Hakim Danish pahat sejarah di Aragon

Hakim Danish pahat sejarah di Aragon

HAKIM DANISH- Ihsan ZK Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli terus mencipta sensasi di pentas perlumbaan motosikal antarabangsa selepas menjadi anak Malaysia pertama menjuarai Piala Red Bull MotoGP Rookies di Litar Aragon, Sepanyol, semalam.

Hakim Danish mencatat masa terpantas 22 minit 59.039 saat (s) meninggalkan pelumba Sepanyol, Brian Uriarte di tempat kedua (+6.567s) dan Rico Salmela dari Scotland di kedudukan ketiga (+6.701s) dalam perlumbaan 2.

Buat pertama kali lagu Negaraku berkumandang di Litar Aragon, selepas beberapa kali percubaan daripada Hakim Danish dalam saingan terdahulu dan kali ini usaha keras itu akhirnya berhasil.

Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67, kelmarin, kejayaan diukir anak jati Terengganu itu lebih bermakna dan ia diakui sendiri Hakim Danish yang mengotakan janjinya untuk menghadiahkan Malaysia kemenangan.

“Kemenangan ini untuk Malaysia, kejayaan yang dicatat saya berlaku pada ketika rakyat Malaysia sedang meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.

“Saya gembira dengan kejayaan ini, walaupun ia dicatat dengan cara yang tidak mudah kerana saya terpaksa berlumba di atas permukaan litar yang basah kerana hujan,” kata pelumba berusia 17 tahun itu.

Sementara itu, Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, keputusan dia dan pasukannya mendapatkan bantuan pakar psikologi bagi membantu Hakim Danish ternyata berbaloi.

“Danish sebenarnya mula menunjukkan kemerosotan terutama sewaktu perlumbaan di Austria, jadi, saya sedar perlu ada tindakan segera bagi mengembalikan keyakinan Danish dan ternyata keputusan itu tepat,” katanya.

Menurut bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu, pihaknya telah mengenal pasti masalah yang dihadapi Hakim Danish sejak dua musim lalu lagi dan kali ini, perlu ada jalan penyelesaian supaya masalah yang berlaku tidak berlarutan.

Sementara itu, dalam perlumbaan Kejohanan Superbike Sepanyol 2024, seorang lagi pelumba Malaysia, Qabil Irfan Azlan muncul sebagai naib juara dalam saingan bagi kategori Moto4 di Litar Estoril, Portugal.

Ketika diminta mengulas mengenai pencapaian pelumba berusia 12 tahun itu, Zulfahmi memberitahu, keputusan yang ditunjukkan Qabil adalah bukti kejayaan program pembangunan yang diusahakan ZK Racing selama ini.

“Melalui perlumbaan MiniGP kita berhasil melahirkan pelumba-pelumba muda berbakat dan hasilnya sudah mula dapat kita lihat melalui Qabil dan Danish,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya