PETALING JAYA: Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin enggan tergesa-gesa dalam mengendalikan masa depan pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli yang dilihat memiliki potensi besar ke kancah saingan Kejuaraan Motosikal Dunia.
Begitupun, bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu berkata, dia perlu berhati-hati dalam mengendalikan masa depan Hakim Danish dan apabila tiba masa yang difikirkan sesuai anak muda itu akan dinaik taraf ke kejohanan berprestij tersebut.
“Melainkan kalau Danish mampu berada dalam kelompok tiga terbaik senarai pelumba Piala Red Bull MotoGP Rookies yang meletakkan dia dalam kedudukan automatik ke kejohanan dunia, maka, saya terima dia bersedia beraksi pada pertandingan itu musim depan.
“Namun, jika dia tidak mampu berbuat demikian, saya mahu Danish terus bersaing dalam Red Bull MotoGP Rookies untuk semusim lagi dan juga JuniorGP, saya tidak mahu tergesa-gesa dalam menguruskan masa depan Danish,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, pelumba berusia 17 tahun itu mencipta sensasi di pentas perlumbaan motosikal antarabangsa selepas menjadi anak Malaysia pertama menjuarai Piala Red Bull MotoGP Rookies di Litar Aragon, Sepanyol.
Hakim Danish kini berada di tangga keenam mengumpul 114 mata dalam senarai keseluruhan pelumba Piala Red Bull MotoGP Rookies 2024 dengan dua pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe serta Brian Uriarte mengungguli kedudukan dua teratas selepas mengutip 202 dan 189 mata, manakala, Valentin Perrone dari Argentina di kedudukan ketiga dengan 161 mata.
Menurut Zulfahmi, banyak yang telah dipelajarinya daripada pengalaman lalu, jadi, kali ini dia mahu Hakim Danish dipersiapkan sepenuhnya agar karier anak muda itu dalam kejuaraan dunia kelak dapat bertahan lama.
Jelasnya, Hakim Danish kini kesuntukan masa dengan saingan hanya berbaki dua perlumbaan di Misano, Itali pada 7-8 September ini dan peluang untuk dia mencabar kedudukan tiga terbaik sangat sukar.
“Bagi saya amat penting untuk Danish kekal konsisten setiap perlumbaan yang disertainya kerana sebaik dia berada dalam kancah kejuaraan dunia, cabaran yang bakal diterimanya jauh lebih sukar.
“Saya akui memang saya ada meninjau pasukan-pasukan yang sesuai untuk Danish bernaung, tetapi, tidak semestinya saya terus hantar dia berlumba pada musim depan, belum lagi,” tegasnya.
Hakim Danish merupakan satu-satunya pelumba Malaysia yang berjaya mencatat keputusan podium dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies dan daripada 12 perlumbaan setakat ini, anak jati Terengganu itu sentiasa berada dalam kedudukan kutipan mata, musim ini.
Dengan hanya dua perlumbaan berbaki, pelumba itu sudahpun mencatat tiga keputusan podium iaitu No. 2 di Jerez, Sepanyol; No. 3 di Le Mans, Perancis dan juara di Aragon, Sepanyol.-UTUSAN