Filipina negara Asia paling bahaya untuk aktivis alam sekitar

Filipina negara Asia paling bahaya untuk aktivis alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina adalah negara paling berbahaya di Asia bagi aktivis alam sekitar, menurut laporan terkini Global Witness, apabila mencatatkan jumlah kematian berkaitan alam sekitar tertinggi di rantau ini selama lebih 10 tahun.

Ketua penyelidikan di sebuah pertubuhan bukan kerajaan BAN Toxics Filipina, Jashaf Shamir Lorenzo memberitahu Arab News, sebanyak 17 kematian dicatat di negara ini, memperlihatkan golongan itu ditekan dalam pelbagai cara.

“Kes yang paling ekstrem termasuk penculikan dan pembunuhan. Aktivis alam sekitar dilihat sebagai ancaman kepada ahli politik dan industri penting negara,” katanya.

Jelas beliau, isu-isu alam sekitar telah lama menjadi sebahagian besar daripada platform politik dan kerajaan gagal melindungi golongan aktivis terlibat.

Katanya, keadaan itu berlaku sejak zaman pemerintahan Presiden Rodrigo Duterte dari 2016 hingga 2022.

Selain Filipina, dua negara Asia lain yang tidak selamat untuk aktivis alam sekitar ialah India dan Indonesia apabila masing-masing merekod lima dan tiga kematian.

Menurut anggaran kumpulan advokasi dari United Kingdom (UK) yang dikeluarkan awal minggu ini, sekurang-kurangnya 196 aktivis alam sekitar terbunuh di seluruh dunia pada tahun lalu.

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan aktivis yang maut kepada 2,106 sejak tahun 2012, apabila Global Witness memulakan pemantauannya.

Colombia menjadi negara paling berbahaya bagi aktivis alam sekitar apabila merekod 79 kematian, diikuti Brazil (25), Mexico (18) dan Honduras (18). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN