PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai sebarang halangan tentang jumlah gaji sekiranya usaha membawa Park Hang Seo untuk mengemudi Harimau Malaya menjadi kenyataan.
Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, jumlah gaji bukan menjadi isu utama, sebaliknya penekanan kepada aspek kualiti perlu diberikan perhatian untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat lebih baik.
Bagaimanapun kata Firdaus, sehingga kini masih tiada perbincangan lanjut antara Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dengan Hang Seo atau wakilnya tentang jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya.
“Pada pendapat peribadi saya, kita tiada masalah berkaitan pembayaran gaji yang akan diberikan kepada Hang Seo dan saya melihat perkara ini bukanlah isu utama yang perlu diperbesarkan.
“Sebaliknya, apa yang penting ialah penekanan kepada aspek kualiti seseorang jurulatih itu perlu diberikan perhatian agar mampu untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat yang lebih baik pada masa akan datang.
“Setakat ini, masih tiada perbincangan antara presiden FAM dengan Hang Seo. Kami masih dalam proses mempertimbangkan segala aspek sebelum mesyuarat bersama exco FAM diadakan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia telah melaporkan mengenai tangga gaji yang pernah diterima oleh pengendali dari Korea Selatan itu, dianggarkan sekitar AS$50,000 (RM218,000) sebulan dan disifatkan terlalu tinggi.
Perkara itu turut mendapat perhatian Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah yang berpendapat bahawa jumlah tersebut terlalu tinggi dan perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya.
“Bayaran RM218,000 sebulan itu terlalu mahal memandangkan Hang Seo berasal dari Asia dan tidak memiliki pasukan buat masa ini dan gaji sekitar RM130,000 dirasakan lebih berpatutan,” ujar Effendi yang juga seorang ejen berpengalaman.
Difahamkan, Hang Seo menerima bayaran yang tinggi di Vietnam selepas syarikat swasta atau syarikat Korea Selatan yang berpangkalan di negara itu turut menampung sebahagian gajinya.
Sebelum ini, ejen Hang Seo, Lee Dong Jun menafikan Hang Seo ada meminta untuk mengisi jawatan yang ditinggalkan Kim Pan Gon kepada FAM namun dalam masa yang sama terbuka berbincang jika ada tawaran menarik.
Dalam pada itu, FAM ketika ini memberi kepercayaan penuh kepada Pau Marti Vicente untuk mengemudi Harimau Malaya di Piala AFF 2024.
Terdahulu, Pau Marti tidak menunggu lama untuk membuktikan kemampuannya apabila berjaya menjulang Piala Pestabola Merdeka 2024 bersama Harimau Malaya selepas berjaya menumpaskan Lubnan 1-0 pada 8 September lalu.-UTUSAN