Enam maut akibat banjir, tanah runtuh di Jepun - Utusan Malaysia

Enam maut akibat banjir, tanah runtuh di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO : Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan terkorban dan 10 yang lain hilang selepas hujan lebat mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di kawasan semenanjung yang masih dalam proses pemulihan dari gempa bumi, awal tahun ini.

Saluran penyiaran awam NHK dan media lain melaporkan pada Isnin, enam kematian disahkan, manakala agensi berita Kyodo menyatakan lebih 100 komuniti terputus hubungan akibat jalan yang terhalang akibat air sungai melimpah.

Dua daripada kematian tersebut berlaku berhampiran terowong yang terjejas akibat tanah runtuh di bandar Wajima, Ishikawa, yang sedang dalam proses pembaikan selepas kerosakan akibat gempa bumi pada hari pertama tahun baru.

Hujan di Wajima dan bandar berhampiran Suzu mencatatkan tahap dua kali ganda daripada purata hujan September.

Agensi Meteorologi Jepun menurunkan ‘amaran khas’ untuk kawasan tersebut kepada ‘amaran’, tetapi menasihatkan penduduk untuk tetap berwaspada.

Perdana Menteri, Fumio Kishida, mengarahkan pegawai untuk memantau kerosakan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, memandangkan kawasan tersebut masih dalam proses pemulihan daripada gempa bumi, Januari lalu.

Hujan lebat melanda Ishikawa sejak Sabtu, dengan lebih 540 milimeter dalam tempoh 72 jam, hujan berterusan terbanyak yang pernah direkodkan.

Kawasan tersebut masih dalam proses pemulihan dari gempa bumi berkekuatan 7.5 skala Richter pada awal tahun lalu, yang meruntuhkan bangunan, mencetuskan tsunami dan kebakaran besar.

Pada Isnin, sebanyak 4,000 rumah dilaporkan terputus bekalan elektrik selepas hujan, menurut syarikat elektrik Hokuriku.

Angkatan tentera dihantar ke kawasan Ishikawa untuk menyertai pasukan penyelamat sepanjang hujung minggu, sementara puluhan ribu penduduk disarankan untuk berpindah. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN