Ekonomi Palestin jatuh menjunam - Utusan Malaysia

Ekonomi Palestin jatuh menjunam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan ekonomi Palestin kini dalam keadaan menjunam dengan pengeluaran di Gaza merosot kepada satu perenam daripada tahap sebelum Israel melancarkan serangan balas 7 Oktober, tahun lalu. 

Laporan daripada Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) turut memberi amaran tentang kemerosotan ekonomi yang pesat dan membimbangkan di Tebing Barat.

Timbalan Setiausaha Agung UNCTAD, Pedro Manuel Moreno berkata, ia merujuk kepada peningkatan penempatan haram Israel, rampasan tanah, perobohan bangunan Palestin dan keganasan oleh penduduk Yahudi.

“Ekonomi Palestin kini dalam keadaan menjunam. Laporan ini menyeru masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kejatuhan ekonomi ini, menangani krisis kemanusiaan serta meletakkan asas bagi keamanan dan pembangunan yang berkekalan,” katanya kepada pemberita di Geneva. 

Beliau turut menyarankan pelaksanaan pelan pemulihan komprehensif untuk wilayah Palestin, menambah bantuan antarabangsa, penghapusan sekatan Israel terhadap Gaza, serta pembebasan hasil dan dana milik Palestin yang disekat oleh Israel.

Ekonomi Gaza sudah lemah sebelum peperangan, dengan kadar pengangguran hampir 50 peratus. 

Namun, peperangan menyebabkan keadaan hampir terhenti sepenuhnya, dengan PBB menganggarkan kira-kira 90 peratus daripada penduduk wilayah tersebut telah dipindahkan, ramai yang kini tinggal di khemah pelarian yang serba daif dan bergantung kepada bantuan antarabangsa.

Tindakan ketenteraan Israel turut memberi kesan buruk kepada ekonomi, dengan serbuan tentera dan sekatan jalan raya yang kerap menjadikan pergerakan dan kerja harian penduduk semakin sukar.

Dengan keganasan yang masih berterusan, belum ada tanda-tanda pelan pemulihan ekonomi akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Pengeluaran ekonomi di Gaza jatuh kepada AS$221 juta dalam tempoh setengah tahun, termasuk suku terakhir 2023 dan suku pertama 2024. 

Ia bersamaan kira-kira 16 peratus daripada jumlah bagi tempoh sama pada 2022 dan 2023, dengan jumlahnya melebihi AS$1.34 bilion, menurut laporan agensi tersebut.

Menjelang awal tahun ini, sebanyak 96 peratus aset pertanian di Gaza, termasuk ladang ternakan, kebun, jentera dan kemudahan penyimpanan telah dimusnahkan, manakala, lebih 80 peratus perniagaan di Gaza telah rosak atau musnah sepenuhnya, menurut UNCTAD.

Serangan Israel di Gaza sudah mengorbankan 41,084 rakyat Palestin dan mencederakan 95,029 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan wilayah tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN