PETALING JAYA: Kontinjen para Malaysia berjaya mengaut pingat pertama pada Sukan Paralimpik Paris 2024 menerusi Eddy Bernard dalam acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di Stade de France.
Atlet kelahiran Sabah itu berhasil membawa pulang gangsa selepas bermula dengan baik di awal perlumbaan namun berjaya menepis kehilangan momentumnya untuk melintasi garisan penamat dengan catatan 11.58 saat (s).
Lebih manis, kejayaan pelari berusia 23 tahun itu pada penampilan sulungnya di pentas Paralimpik memecahkan rekod Asia milik atlet Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.
Eddy turut memperbaharui catatan masa peribadinya 11.77s ketika membawa pulang pingat perak pada kejohanan terbabit.
Sementara itu, pingat emas menjadi milik wakil dari Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo dengan catatan 11.12s manakala perak dibawa pulang oleh atlet Cuba, Yamel Luis Vives Suares (11.20s). – UTUSAN