WASHINGTON: Calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump menolak kemungkinan untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Presiden 2028 jika kalah dalam pilihan raya pada bulan November ini.
Beliau menyatakan pendirian itu semalam dalam wawancara program berita mingguan, Full Measure.
“Tidak, saya rasa tidak. Pilihan raya kali ini akan menjadi yang terakhir,” jawabnya ketika ditanya
sama ada beliau akan bertanding semula jika kalah.
Namun, jutawan berusia 78 tahun itu menyatakan harapannya untuk menang pada pilihan raya yang akan berlangsung pada 5 November ini.
Trump kini bersaing sengit dengan calon Parti Demokrat yang juga Naib Presiden, Kamala Harris.
Menurut tinjauan pendapat, kedudukan kedua-dua calon itu hampir sama dan nasib mereka akan ditentukan di negeri-negeri penting seperti Pennsylvania, Wisconsin, Michigan, Arizona, Georgia, Nevada dan North Carolina.
Sejak pengunduran Presiden, Joe Biden sebagai calon pada Julai lalu, Parti Demokrat menerima momentum sokongan selepas prestasi buruk beliau dalam debat menentang Trump.
Trump kalah kepada Biden pada pemilihan Presiden tahun 2020, tetapi enggan mengakui kekalahannya.
Dalam satu tinjauan pendapat oleh CBS News/YouGov, Harris mendahului dengan 52 peratus sokongan berbanding Trump pada 48 peratus. – AGENSI