‘Depan senyum, belakang belum tentu’ - Utusan Malaysia

‘Depan senyum, belakang belum tentu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN di mata kasar segelintir kita, hidup pelakon wanita seorang ini hanya terlukis indah. Kanvas hidupnya dipenuhi dengan warna-warna ceria, seolah tidak ada yang mampu merosakkan senyumnya. 

Sentiasa terlihat bahagia bersama suami dan keluarga, perniagaan serta kerjaya seninya juga, seperti tiada liku. 

Reen Rahim mendepani semua dengan kemanisan senyuman dan ikhlas mensyukuri. 

Namun hakikatnya, kita juga tahu, apa yang dibingkaikan dalam foto atau video di media sosial itu hanyalah perkongsian yang dibenarkan empunya diri. 

Fasa air mata, gelap hidup, biarlah dia sahaja yang tahu. 

“Orang lihat saya memang sentiasa gembira. Saya ini happygo-lucky. Tetapi ada juga fasa saya marah dengan apa yang berlaku di sekeliling. Saat saya murung dan sedih. Tipulah kalau tidak ada. 

“Tetapi saya tidak suka pamer kesedihan di media sosial. Bukan sebab tidak mahu undang simpati, tetapi saya fikir, kalau kongsi perkara sedih, ada ke orang yang ikhlas memahami? Kebanyakan mengecam. 

“Ada fragmen dalam hidup saya yang disimpan untuk diri sendiri dan mereka terdekat. Media sosial bukan diari hidup. Apa yang penting, siapa yang ada ketika kita melalui pelbagai fasa hidup,” katanya. 

Namun tidakkah dia risau jika ada sahaja mata-mata dengki yang memerhati? Bukankah perkongsian, kebahagiaan itu ibarat memancing bukan sahaja tanda suka tetapi perasaan iri terhadapnya? 

“Ada yang menasihati saya untuk berhati-hati, jangan terlalu berkongsi. Tetapi niat saya bukan untuk menunjuk konon saya isteri paling bahagia. Saya mahu beri inspirasi, beri input positif. 

“Dengki ini, tak perlu tengok jauh. Kadang-kadang, yang senyum depan kita belum tentu berniat baik. Berbelas tahun saya hadap, tapi maaf cakap. Saya bukan orang yang senang mengalah dengan penyakit ain ini. 

“Kalau ada yang dengki, saya tidak boleh buat apa. Saya hanya mampu doa, Allah lindungi saya, suami dan keluarga. Tak perlu risau, Allah ada,” ujar juara program realiti, Pilih Kasih musim ketiga itu.

JADI DIRI SENDIRI, GILA-GILA

MELIHATKAN gelagat, perangai Reen di media sosial, ramai pengikutnya terkejut. Wanita yang dahulunya sopan, penuh kemanisan rupanya ada gila-gilanya sendiri. Begitu bijak dia menyorok sisi lain dirinya. 

Perkongsiannya sering kali menjadi bahan hiburan pengikut, malah ada yang suka melihat dia dan suami, Hazim Zainal bergembira dengan cara sendiri. Itu adalah love language mereka, hidup mereka. 

“Jujur, saya sudah penat menyarung baju yang bukan diri saya sendiri. Penat pakai topeng yang menunjukkan senyuman manis setiap masa. Sampai saya pernah rasa penat jadi pelakon sebenarnya. 

‘Dulu ramai yang nasihat, hendak jadi artis popular kena ‘berlagak’ alim. Kena senyum sentiasa, manja. Tetapi hakikatnya, saya bukan begitu. Saya ada gila-gilanya sendiri. Kalau orang panggil kasar pun, saya okey. 

“Sekarang saya hanya mahu jadi diri sendiri. Cuma kena pandai bawa dirilah. Janganlah ego dengan keadaan. Kita kena ada adab dan logik akal. Saya selesa menjadi siapa saya, tak perlu fake,” katanya. 

Usai membakar topeng kepura-puraan itu, dia tidak menyangka sisi gila-gilanya membawa rezeki. 

Tawaran yang diterima juga mahukan dia menjadi diri sendiri. Tidak perlu lagi berpura-pura. 

“Itu yang saya terkejut. Banyak tawaran sekarang minta saya jadi gila-gila. Bila dapat karakter sesuai perangai, memang seronoklah. Kadang-kadang, tidak perlu skrip. Saya melalut sendiri asal kena dengan jalan cerita. 

“Tapi itulah, adakala saya mahu juga watak-watak lebih mencabar. Dulu-dulu pernahlah bawa watak gila, psiko, bohsia semua. Rindu hendak bawa watak di luar zon selesa kan,” kata anak kelahiran Klang ini.

APA SALAH JADI PELAKON PEMBANTU?

Lebih sedekad bergelar anak seni, profil lakonan dan projek seni pemilik nama Noreen Ashikin Abdul Rahim ini boleh dibanggakan. 

Beri apa sahaja watak, umpama air sungai, deras sahaja dia alirkan jiwa.. Namun entah bagaimana, ada yang melabelnya sebagai ratu pelakon pembantu. 

Bukan dalam nada positif, tetapi segelintir memandang dia dari sudut pandang negatif. Reen tiada aura heroin? 

“Saya tak tahu hendak jawab macam mana. Saya ini bukan jenis memilih watak. Pelakon utama atau pembantu, semua saya terima. Nama pun rezeki kan. Kecil atau besar, semua Tuhan sudah susun. 

“Apa salah jadi pelakon pembantu? Dalam manamana anuegrah pun, ada kategori pelakon pembantu. Jadi, jangan anggap pelakon sampingan ini hanya sekadar patung cendana, buat hiasan. 

“Kadang-kadang, ada watak pembantu yang lebih kuat daripada peran utama. Jangan pandang rendah dengan kerja seseorang. Setiap watak itu ada ‘tugas’ mereka masing-masing,” kongsi pelakon Mawar Putih itu. 

Mengendali tiga perniagaan dalam satu-satu masa turut menimbulkan desas desus, sukarnya mengunci jadual dengan pelakon Daddyku Gangster itu. Kesibukkannnya membataskan masa untuk berlakonkah? 

“Mungkin mereka salah anggap. Mula-mula menceburkan diri dalam perniagaan memang saya kurangkan berlakon. Saya juga baru berkahwin ketika itu, jadi fokus saya keluarga dan perniagaan. 

“Tetapi bila sudah faham rentak, saya okey sahaja untuk berlakon. Pandailah saya susun jadual kan. Masa setahun perlahankan karier seni itu, memang saya rindu sangat nak berlakon. Menggigil lutut (seloroh). 

“Sekarang pun saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Dhia Kasyrani untuk TV3,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya