Cerai atas paksaan, tiada ugutan bersenjata - Nora Ariffin - Utusan Malaysia

Cerai atas paksaan, tiada ugutan bersenjata – Nora Ariffin

Nora Ariffin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Benar, perceraian itu berlaku atas paksaan (pihak lain).”

Demikian pengakuan penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengenai perceraiannya dengan bekas suami, Dr. Rushdi Ramli yang tular baru-baru ini.

Kata penyanyi berusia 51 tahun itu, lafaz cerai itu berlaku secara mengejut dihadapannya.

“Bekas suami menceraikan saya selepas kami mendirikan solat Subuh, selepas dia menerima panggilan telefon. Saya ketika itu tergamam dan terkejut. Lidah saya kelu, perasaan juga tiada.

“Apa pun saya tahu apa yang berlaku dan mengapa penceraian ini berlaku. Perkara itu saya tak boleh kongsikan. 

“Tetapi saya akui, silap saya kerana muat naik rakaman itu di media sosial. Ketika itu saya gagal kawal emosi mungkin kerana saya terlampau terkejut. Saya sudah  meminta maaf kepada bekas suami atas tindakan itu. Saya harap apa yang berlaku boleh dijadikan pengajaran,” katanya.

Nora berkata demikian selepas sidang akhbar konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin di ibu negara, semalam.

Nora pada 12 Ogos lepas menggemparkan dunia hiburan tanah air apabila mengumumkan secara sah bercerai dengan Dr. Rushdi. 

Pengesahan itu dibuat menerusi rakaman lafaz cerai bekas suaminya itu yang dimuat naik penyanyi  tersebut di Instagramnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu menafikan spekulasi liar yang kononnya bekas suaminya itu melafazkan cerai selepas menerima ugutan dengan pistol.

“Tak adalah sampai begitu sekali. Saya pun tak sangka netizen berspekulasi sampai tahap itu. 

“Yang sebetulnya, bekas suami memang berada depan saya sewaktu melafazkan cerai

“Semua orang boleh buat spekulasi. Tapi hanya saya tahu apa sebenarnya yang berlaku. Pistol atau pisau memang tiada. Ramai yang tahu dan faham. Boleh fikirkan sendiri tanpa perlu saya ceritakan,” kongsinya lagi.

Sementara itu, Nora memaklumkan hanya bersangka baik dengan apa yang berlaku dan reda dengan perceraian yang dilaluinya.

“Saya serah semua kepada Allah.  Kalau berbaik semula, itu ketentuannya. Kalau tak ada jodoh, tak mengapa,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN