Calon Presiden Pembangkang Venezuela dapat suaka politik

Calon Presiden Pembangkang Venezuela dapat suaka politik di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Kerajaan Venezuela mengesahkan calon presiden pembangkang, Edmundo González, telah meninggalkan negara itu dan kini mendapatkan suaka politik di Sepanyol.

González yang telah bersembunyi sejak Julai, menjadi buruan pihak berkuasa selepas pembangkang menolak keputusan pilihan raya presiden yang diumumkan oleh Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE) yang dikuasai kerajaan, di mana Nicolás Maduro diisytiharkan sebagai pemenang.

Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez, melalui satu kenyataan di media sosial menyatakan bahawa González telah mencari perlindungan di Kedutaan Sepanyol di Caracas beberapa hari yang lalu sebelum memohon suaka politik daripada kerajaan Sepanyol.

Tambah beliau, Caracas telah bersetuju dengan laluan selamat untuknya, dan beliau telah meninggalkan negara itu.

Menteri Luar Negeri Sepanyol, José Manuel Albares, mengesahkan González telah meninggalkan negara tersebut atas permintaannya sendiri, menggunakan pesawat Tentera Udara Sepanyol disamping menambah bahawa kerajaan Sepanyol komited terhadap hak-hak politik semua rakyat Venezuela dan González akan diberikan suaka politik di Sepanyol, menurut media tempatan.

Walaupun González telah berlepas, pasukan keselamatan Venezuela dilaporkan telah mengepung Kedutaan Argentina di Caracas di mana sebanyak enam penentang politik Presiden Maduro kini berlindung di sana.

Kementerian Luar Negeri Venezuela menuduh bahawa terdapat perancangan untuk melancarkan tindakan keganasan dari dalam kedutaan tersebut.

Venezuela telah berada dalam krisis politik sejak pihak berkuasa mengisytiharkan Maduro sebagai pemenang pilihan raya pada 28 Julai di mana parti pembangkang mendakwa mereka mempunyai bukti bahawa González sebenarnya memenangi pilihan raya itu dengan margin yang selesa dan telah memuat naik keputusan undi terperinci ke internet bagi menunjukkan González mengalahkan Maduro dengan jelas.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, dan beberapa negara Amerika Latin telah menolak untuk mengiktiraf kemenangan Maduro tanpa data undian terperinci daripada Caracas.

Kerajaan Maduro telah menahan lebih daripada 2,400 orang sejak pilihan raya, yang digambarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai mencipta “iklim ketakutan” dan González sendiri telah bersembunyi sejak 30 Julai, kerana bimbang akan ditangkap setelah beberapa kenyataan oleh ahli politik kerajaan yang menyatakan beliau sepatutnya “dipenjarakan”. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN