Bukan salah Sarjit tetapi pemain selalu buat kesilapan berulang

Bukan salah Sarjit tetapi pemain selalu buat kesilapan berulang

SUBAHAN Kamal (kanan) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memberi sokongan penuh kepada Sarjit Singh untuk terus mengendali skuad hoki lelaki negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi hambar skuad kendalian Sarjit Singh pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, China tidak menjejaskan kedudukan ketua jurulatih Speedy Tigers.

Sebaliknya, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kekal menaruh kepercayaan kepada Sarjit untuk kekal membimbing skuad hoki lelaki kebangsaan itu.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata beliau tidak gusar dengan prestasi Sarjit sebaliknya lebih bimbang dengan prestasi barisan pemain negara yang dilihat sering mengulangi kesilapan sama apabila gawang dibolosi ketika saat genting.

“Kebimbangan saya adalah mengapa pemain berulang kali melakukan kesilapan sama di saat paling penting. Jika mereka mempertahankan kedudukan mereka, kita tidak akan alami situasi seperti sekarang.

“Masalah ini bukan perkara baharu tetapi dialami oleh semua jurulatih. Jadi saya tak risau mengenai Sarjit dan barisan kejurulatihannya kerana KHM akan sentiasa berada di belakang untuk menyokongnya.

“Saya cuma bimbang dengan mentaliti setiap pemain ketika kita amat memerlukan kemenangan. Sarjit masih yakin, (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM) Manjit (Datuk Majid Manjit Abdullah) masih yakin dan KHM juga masih yakin serta akan terus menyokongnya (Sarjit),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Subahan menafikan badan induk itu tidak meletakkan sebarang indeks prestasi utama (KPI) untuk Sarjit sepanjang mengendalikan skuad hoki lelaki negara.

Bagaimanapun, ketika ini beliau tidak dapat menjelaskan lebih terperinci KPI yang diletakkan untuk mengendali berusia 61 tahun itu, sebaliknya ia akan dimaklumkan pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM pada 12 Oktober ini di Johor Bahru.

“Ketika Sarjit dilantik (sebagai ketua jurulatih), dia beritahu memerlukan masa (membentuk skuad kebangsaan), jadi kita berikan dia masa dan ruang. Tapi untuk mengatakan tiada KPI untuknya adalah tidak benar,” jelasnya.

Sarjit dikritik hebat susulan prestasi hambar Speedy Tigers apabila menamatkan kempen ACT 2024 di tempat tercorot daripada enam pasukan bertanding.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian edisi terdahulu ketika di bawah bimbingan Arul Selvaraj apabila skuad negara berjaya mara ke final sebelum tewas di tangan India.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN