PETALING JAYA: Peperangan psikologi nampaknya sudah bermula di antara atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dengan pencabar terdekatnya dari Itali, Donato Telesca apabila mereka bakal beradu kekuatan di Sukan Paralimpik Paris.
Bonnie merupakan prospek pingat emas negara bakal berentap bersama Telesca dan enam pencabar yang lain bagi kategori atas 72 kilogram (kg) di Porte de La Chapelle Arena, hari ini.
Kedua-dua atlet itu saling mengenali antara satu sama lain dan mempunyai hubungan yang akrab malah sentiasa bertegur sapa setiap kali mereka menyertai di mana-mana kejohanan.
Bercakap mengenainya jurulatih, Jamil Adam berkata ketika ini Bonnie berada di tahap terbaik fizikal dan mental malah bersedia untuk menggalas cabaran negara dengan membawa pulang pingat emas yang ditetapkan kepadanya.
“Mereka berdua sudah berjumpa di venue pertandingan ketika sesi latihan rasmi. Sudah tentu kedua-duanya mempunyai impian masing-masing. Saya boleh katakan peperangan psikologi antara kedua-dua mereka.
“Mereka memang berkawan dan sudah lama kenal antara satu sama lain kerana mereka kerap berjumpa apabila setiap kali menyertai pertandingan. Mereka berdua kerap berbual dan Telesca seorang ahli sukan profesional dan sangat merendah diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Bonnie merupakan pemenang emas di Paralimpik Tokyo 2020 turut berada di ranking No. 1 dunia dan ketika ini pencabar utamanya adalah Telesca.
Ketika ditanya sama ada Bonnie berada dalam keadaan tertekan selepas seorang lagi prospek emas negara iaitu atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli memenangi perak, Jamil berkata situasi tersebut tidak menjejaskan tumpuan anak didiknya.
“Situasi sekarang tekanan untuk semua tetapi tidak menjejaskan persediaan Bonnie. Dia sudah bersedia mental dan fizikal,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menetapkan sasaran empat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.