JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio nyata tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang bergelut untuk menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di laman sendiri kelmarin.
Begitupun, pengendali berusia 56 tahun itu mengakui skuad Harimau Selatan mungkin berdepan tugas sukar menewaskan The Cats sebelum sepak mula tetapi tidak menjangkakan pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar.
Katanya, disiplin tinggi benteng pertahanan lawan berjaya mematahkan serangan JDT sehingga tidak berjaya meraih jaringan pada babak pertama.
“Saya selalu tekankan kepada pemain supaya meningkatkan tahap permainan pada setiap perlawanan, pastikan tahap intensiti di tahap tinggi. Namun, ada masanya semua dirancang tak menjadi bukan seperti yang dimahukan.
“Pemain sudah beri persembahan 100 peratus tapi ia tampak kurang efektif dan bukan berada pada tahap sebenar. Apa pun kita kena terima hakikat tidak akan selalunya sempurna dan cuba untuk perbaiki dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, tumpuan pemain sedikit terganggu kerana JDT akan melayan kunjungan kelab China, Shanghai Shenhua pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Selasa ini.
Oleh itu, pemain tampak berhati-hati pada perlawanan ini kerana khuatir mengalami kecederaan dan terlepas aksi peringkat antarabangsa itu.
Ditanya mengenai kecederaan dialami Enzo Lombardo pada perlawanan itu, dia belum mendapat pengesahan daripada pasukan perubatan mengenai keadaan pemain kelahiran Perancis itu yang masih dalam pemantauan pegawai fisioterapi.
“Belum pasti lagi sama ada Enzo (Lombardo) boleh beraksi dalam perlawanan ACLE menentang Shanghai Shenhua, kita akan pantau perkembangannya dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Kuching City tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya yang memberi tentangan sengit dan memaksa JDT bertungkus-lumus untuk menang.
Segalanya berjalan seperti yang dirancangnya apabila pemain menunjukkan kesungguhan dan disiplin yang tinggi mengekang kemaraan Harimau Selatan dalam masa sama turut melancarkan serangan ke kubu lawan pada babak pertama.
“Masuk babak kedua, sedikit kealpaan menyebabkan kami dihukum apabila bolos gol awal sebelum mereka menambah jaringan (minit ke-82). Saya tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pemain kerana mereka berikan segalanya di atas padang dan sudah membuat yang terbaik.
“Pastinya saya gembira lihat mereka beraksi seperti yang dimahukan ketika berdepan pasukan gergasi seperti JDT. Mereka boleh berbangga dengan persembahan yang diberikan dan kami tekad untuk menjadi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.-UTUSAN