Biden dijadual bertemu Presiden Vietnam - Utusan Malaysia

Biden dijadual bertemu Presiden Vietnam

JOE BIDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dijadualkan bertemu dengan Presiden Vietnam dan Ketua Parti Komunis yang memerintah, To Lam, Rabu ini.

Menurut sumber kepada Reuters, pertemuan itu dijangka berlangsung dalam satu acara sampingan Ketika Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan di New York.

White House tidak memberikan sebarang reaksi, sementara jurucakap Kementerian Luar Vietnam sebelum ini tidak mengesahkan sama ada Lam akan bertemu Biden semasa lawatan tersebut.

Biden berhasrat memperkukuhkan hubungan dengan Vietnam dalam usaha menentang Russia dan China, yang turut mempunyai hubungan dengan Hanoi.

Pada bulan September tahun lalu, Biden mengunjungi Vietnam yang menyaksikan beberapa perjanjian dicapai antaranya melibatkan perdagangan semikonduktor dan mineral.

Dalam lawatan pertama Lam ke AS sejak dilantik sebagai ketua parti pada awal bulan lalu, beliau dijangka berucap di sidang kemuncak PBB dan bertemu wakil dari beberapa syarikat AS termasuk Google dan pemilik Facebook, Meta.

Selain itu, Lam juga dijangka mengunjungi Cuba, yang juga sekutu Komunis jangka panjang Vietnam.

Menurut sumber kepada Reuters, sebelum lawatan ke AS, pihak berkuasa Vietnam yang diperintah oleh Komunis membebaskan beberapa aktivis terkemuka dari penjara sebelum tamat hukuman.

Antara yang dibebaskan adalah Tran Huynh Duy Thuc, yang dijatuhi hukuman 16 tahun penjara pada Januari 2010 atas tuduhan pengkhianatan dan aktivis alam sekitar Hoang Thi Minh Hong, yang dijatuhi hukuman tiga tahun penjara atas tuduhan penipuan cukai pada bulan September tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN